Buletin

PERODUA KEKAL SASARAN JUALAN 240,000 UNIT TAHUN INI

Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) mengekalkan sasaran jualan tahun ini sebanyak 240,000 unit di sebalik cabaran yang dihadapi membabitkan situasi semasa Covid-19 dan isu kekurangan semikonduktor.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad, berkata meskipun berdepan cabaran, permintaan bagi semua model keluaran syarikat itu kekal kukuh dan disokong insentif pengecualian cukai jualan yang memacu jualan.

Beliau berkata, PERODUA menjual menjual 96,281 unit kenderaan dalam lima bulan pertama tahun ini, mewakili peningkatan 82 peratus berbanding 52,920 unit yang dijual dalam tempoh sama tahun lalu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa antara Mac dan Mei.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, pencapaian 2021 lebih sesuai dibandingkan dengan prestasi 2019 apabila PERODUA menjual 105,745 unit dalam tempoh lima bulan pertama iaitu 8.9 peratus lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun ini.

“Kesan pandemik dan isu kekurangan semikonduktor dapat dilihat pada penurunan jualan sebanyak 12 peratus daripada 20,399 unit pada April kepada 17,973 unit pada Mei.

“Walaupun berhadapan dengan cabaran ini, sekiranya tidak berlaku ketidakpastian tambahan, kami percaya mampu mencapai sasaran 240,000 unit bagi tahun ini di sebalik permintaan yang kekal kukuh bagi semua model,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada tahun lalu, PERODUA mencatat jualan sebanyak 220,154 unit.

Zainal Abidin berkata, lanjutan pengecualian cukai jualan sehingga akhir tahun turut membantu menampung permintaan, menggalakkan aktiviti ekonomi serta membantu mengekalkan ekosistem automotif Malaysia.

“Kami memahami bahawa langkah yang diambil oleh kerajaan bagi melawan pandemik ini adalah perlu demi kesihatan dan keselamatan rakyat.

“Kami bersama-sama dengan pembekal dan pengedar akan memberikan kerjasama penuh kepada kerajaan bagi meratakan lengkung Covid-19,” katanya.

PERODUA menghasilkan 18,283 kenderaan pada Mei, sekali gus meningkatkan jumlah pengeluarannya setakat tahun ini kepada 98,944 unit.

Google ads
"
"
Back to top button