Buletin

ATIVA TERIMA LEBIH 14.5K TEMPAHAN, VARIAN AV PALING LARIS. JUALAN Q1 2021 PERODUA NAIK 29%

Perodua memaklumkan bahawa model terbaharunya, Ativa telah menerima 14,574 tempahan setakat ini. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 4,345 unit telah dihantar kepada pelanggan sejak pelancarannya pada 3 Mac lalu. Seperti dijangka, 67 peratus tempahan melibatkan varian AV.

“Ini menjadikan Perodua Ativa sebagai SUV kompak paling laris pada Mac. Kami amat bersyukur, Perodua Ativa telah mencapai permulaan yang begitu kukuh. Perodua juga berjaya mengatasi sasaran penghantaran bulanan sebanyak 3,000 unit pada bulan pertama,” katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Perodua menganggarkan jualan sebanyak 57,911 kenderaan dalam suku pertama 2021 (1Q21) iaitu kenaikan 29 peratus berbanding 44,977 unit dalam tempoh sama tahun lalu.

Ini berikutan peningkatan pengeluaran untuk memenuhi permintaan bagi semua modelnya, terutama Perodua Ativa yang baru dilancarkan.

“Mac menyaksikan peningkatan jumlah jualan kami kepada 24,433 unit. Ia didorong oleh permintaan yang tinggi, terutama bagi Ativa yang telah menerima 14,574 tempahan sejak 19 Februari lalu,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

Pendaftaran Perodua juga melonjak 47.3 peratus kepada 24,433 unit pada Mac 2021 berbanding 16,583 unit pada Februari 2021.

Dari segi pengeluaran, Zainal berkata Perodua telah menghasilkan 60,383 unit kenderaan pada 1Q21, naik 23 peratus berbanding 49,280 unit yang dihasilkan pada 1Q20.

“Buat masa ini, cabaran terbesar kami adalah kekurangan cip semikonduktor. Ia memberi kesan yang berbeza kepada setiap pengeluar kenderaan di seluruh dunia.

“Kami sedang bekerjasama dengan rakan niaga untuk mencari bekalan alternatif. Pada masa sama memantau keadaan setiap hari untuk memastikan operasi pengeluaran kami berterusan,” katanya.

Walaupun berdepan dengan isu semikonduktor, Perodua masih mampu mencapai sasaran jualan 2021 sebanyak 240,000 unit.

Sasaran jualan 2021 Perodua mewakili peningkatan 9% daripada 220,163 unit yang dijual pada 2020, dan dijangka membawa kepada perbelanjaan rekod sebanyak RM6.5 bilion pada tahun ini untuk membeli komponen tempatan.

Perodua juga mensasarkan pengeluaran sebanyak 272,000 unit (+23% daripada 220,968 unit pada 2020). Selain 2.4 juta pengambilan servis (+20% daripada 2 juta pada 2020) pada tahun ini.

Google ads
Back to top button