Buletin

PERODUA ARUZ FACELIFT 2021. WARNA MERAH BAHARU, PEMIJAK SISI, KUNCI AUTOMATIK. HARGA SAMA, BERMULA RM68,526 SEUNIT

SUV tujuh tempat duduk terlaris di Malaysia, Perodua Aruz, telah diperbaharui untuk tahun 2021 tanpa perubahan harga iaitu RM68,526 bagi varian X dan RM73,226 (varian AV) di atas jalan tidak termasuk  insurans di Semenanjung Malaysia.

Kedua-dua varian itu kini dilengkapi pemijak sisi bagi memudahkan penumpang masuk dan keluar dari kenderaan. Selain ciri kunci pintu automatik apabila kelajuan melebihi 20km/j. Pintu bagaimanapun akan dibuka secara automatik sekiranya berlaku perlanggaran. 

Warna baharu Passion Red yang eksklusif untuk varian AV menyertai warna-warna seperti kelabu, biru, perak da putih.

“Perodua ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pelanggan yang telah memberikan maklum balas dalam membantu kami menambah baik Aruz demi memenuhi keperluan dan kehendak sebenar rakyat Malaysia dengan lebih baik,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

Dengan jualan lebih 60,000 unit sejak dilancarkan pada 2019, Aruz menjadi SUV  terlaris di Malaysia pada 2019 dan 2020. Namun, seiring dengan prinsip Kaizen, Perodua percaya bahawa tetap ada cara untuk menjadikan produk ini lebih baik.

Penambahbaikan Aruz sejajar dengan rangka tindakan Perodua Smart Build, satu lagi contoh kerjasama simbiotik Perodua dengan para pembekalnya untuk menyesuaikan produk dengan keperluan dan kehendak rakyat Malaysia.  

Aruz menawarkan ruang luas, tahap keselamatan, serba boleh, praktikal dan kos pemilikan yang rendah dalam bentuk sebuah kenderaan tujuh tempat duduk yang kompak.

Enjin empat silinder 1.5 liter Dual VVT-i blok aluminium dipadankan dengan transmisi automatik kawalan elektronik dan Eco Idle untuk memberi kecekapan bahan api sehingga 15.6km/l, sekali gus menjadikan Aruz sebuah Kenderaan Cekap Tenaga (EEV).

Barisan tempat duduk kedua yang boleh dilipat dengan konfigurasi 60:40 dan arisan ketiga (50:50) nyata begitu fleksibel untuk apa jua kegunaan. 

Dengan enam beg udara dan Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) yang ada pada semua varian, di samping sistem Bantuan Pemanduan Selamat (ASA) 2.0 pada varian AV, Aruz menerima penarafan keselamatan maksimum lima bintang ASEAN NCAP.

Lampu hadapan LED, rim aloi dwi-tona 17-inci, kemasukan dan penghidup enjin tanpa kunci, serta sistem infohibur skrin sentuh dengan paparan kamera undur ditawarkan pada semua varian. Manakala varian AV ditambah dengan lampu automatik, lampu kabus hadapan, kerusi kulit, HDMI, Smart Link, navigasi dan perakam video pemanduan.

“Dalam semua model kami, Aruz menikmati penurunan harga yang paling banyak iaitu sebanyak 6 peratus atau lebih RM4,000 berikutan pengecualian cukai jualan kerajaan. Jadi, jika anda inginkan Aruz, tempahlah sekarang kerana pengecualian cukai jualan akan berakhir 30 Jun depan,” kata Zainal.

Google ads
Back to top button