Buletin

SHELL MALAYSIA RAIH MAJIKAN PALING MENARIK DI MALAYSIA 2021

Shell Malaysia dinobat sebagai Majikan Paling Menarik di Malaysia 2021 oleh Randstad, agensi penyelesaian sumber manusia terkemuka dunia.

Pencapaian Shell Malaysia dalam anugerah itu adalah kali ketiga selepas meraih pengiktirafan sama pada 2016 dan 2017.

Pengarah Urusan Randstad bagi Singapura dan Malaysia, Jaya Dass, berkata pencapaian Shell Malaysia dikecapi hasil usahanya mengekalkan jenama majikan yang kukuh ketika Covid-19.

“2020 menjadi satu lagi tahun paling mencabar kepada semua majikan di Malaysia di mana krisis ini menggariskan betapa pentingnya kejayaan mengukuhkan jenama majikan dan kemampuan organisasi muncul lebih kukuh daripada wabak ini.

“Banyak majikan luar biasa bekerja keras selama 12 bulan terakhir bagi memastikan keselamatan pekerja selain menguruskan kesan ekonomi yang serius.

“Walaupun Malaysia terkesan, kami yakin ekonomi akan kembali pulih pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.

Pemenang Anugerah Jenama Majikan Randstad bagi 2021 dipilih daripada kalangan 75 syarikat komersial paling menarik untuk bekerja di Malaysia berdasarkan saiz tenaga kerja.

Selain Shell Malaysia, Nestlé Malaysia dan Intel Malaysia menjadi tiga majikan paling menarik tahun ini.

Anugerah itu mengiktiraf tiga syarikat komersial utama yang meraih skor daya tarikan tertinggi dalam Penyelidikan Jenama Majikan.

Penyelidikan Jenama Majikan 2021 Randstad mengkaji persepsi pencari kerja dan pekerja terhadap jenama majikan.

Ia menawarkan pemahaman yang tepat mengenai faktor dan pendorong nilai pekerja.

“Edisi kali ini unik kerana menjadi satu-satunya penyelidikan global yang bebas menyelidik perubahan sentimen tenaga kerja sebelum dan selepas wabak COVID19.

“Tahun ini, sejumlah 2,523 pekerja dan pencari kerja tempatan menyertai tinjauan di Malaysia pada Januari 2021.

“Kami berharap dapat melihat majikan tempatan terus menjalin hubungan yang bermakna dengan pekerja mereka dan berusaha untuk menjadi pilihan untuk bekerja,” tambah Dass.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebagai bukti pencapaian yang konsisten dan cemerlang dalam penjenamaan majikan, agensi itu telah memasukkan PETRONAS ke Hall of Fame Randstad sejak 2020.

“PETRONAS telah membawa pulang penghargaan majikan yang paling menarik tiga kali berturut-turut dari 2018 hingga 2020.

“Hall of Fame adalah penghargaan tertinggi dan paling berprestij yang diberikan dalam Anugerah Jenama Majikan Randstad yang dikhaskan hanya untuk majikan yang telah memenangi anugerah tiga kali dalam lima tahun,” katanya. –BH

SENARAI 10 MAJIKAN PALING MENARIK DI MALAYSIA 2021:-

  • Shell Malaysia
  • Nestlé Malaysia
  • Intel Malaysia
  • Samsung
  • Sime Darby Bhd
  • General Electric
  • HP Enterprise Services
  • Sunway Bhd
  • IBM
  • Tenaga Nasional Bhd
Google ads
Back to top button