Buletin

PERODUA MYVI CATAT PRODUKSI 1 JUTA UNIT!

Perodua hari ini mencatat satu lagi sejarah penting apabila menghasilkan Myvi yang ke sejuta unit. Pencapaian itu sekali gus menjadikan Myvi sebagai model paling banyak dihasilkan oleh Perodua.

Perodua Myvi yang diperkenalkan pada Mei 2005 merupakan model nombor satu negara hingga tahun 2014. Malah, ia terus menjadi antara model paling laris di dalam negara sehingga sekarang.

“Perodua Myvi telah menetapkan satu standard baru dari segi penawaran produk dan ekspektasi pelanggan. Ia menjadi penanda aras untuk model masa depan kami,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh.

Untuk meraikan pencapaian tersebut, Perodua mengadakan satu majlis “line-off” khas di kilangnya di Sungai Choh, Rawang. Majlis itu dirasmikan oleh Presiden Perodua Auto Corporation Sdn. Bhd. (PCSB), Masanori Takahashi dan Naib Presidennya, Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

“Berdasarkan kepada pengiraan dalaman kami, semua model Perodua iaitu Myvi, Alza, Axia dan Bezza kekal sebagai kenderaan paling digemari dalam segmen masing-masing. Jadi, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia,” kata Aminar.

Untuk lima bulan pertama tahun ini, Perodua sudah menjual 81,900 unit kenderaan, naik 5.9 peratus daripada 77,300 unit berbanding tempoh sama tahun lalu.

Perodua menggangarkan jumlah keseluruhan industri (TIV) untuk lima bulan pertama 2017 ialah 233,700 unit. Berdasarkan kepada angka itu, penguasaan pasaran Perodua ialah 35 peratus.

Pengeluar kenderaan itu juga optimis untuk mencapai sasaran jualan sebanyak 202,000 unit pada tahun ini. Biarpun pasaran dilihat cukup mencabar.

BACA: PERODUA BEZZA 1.0L AUTO KINI DI SRI LANKA – RM103K

Dari segi eksport, Myvi dijual di enam buah negara sejak tahun 2006. Ia merangkumi Mauritius, Brunei, Singapura, United Kingdom, Fiji dan Nepal. Eksport terbesar Myvi ialah Indonesia di bawah jenama Daihatsu Sirion dengan hampir 31,000 unit sejak tahun 2007.

Google ads
Back to top button