KEMALANGAN SEMALAM SUKAR DIFAHAMI – MARQUEZ
Marc Marquez memberitahu kemalangan di MotoGP Austin semalam sebagai “sukar untuk difahami” kerana beliau tidak mengasak jentera ke tahap maksimum pun.
Pelumba yang tak pernah dihalang sejak enam tahun lalu di litar sama itu bermula dengan baik. Beliau dilihat mampu mengutip kemenangan ketujuh berturut-turut dengan mengetuai kedudukan grid selepas sesi kelayakan pada Sabtu.
Setelah menjarakkan masa hampir 3.8 saat dengan Rossi di tempat kedua, beliau terbabas di Selekoh ke 12. Walaupun cuba bangkit, namun jenteranya tidak berupaya meneruskan perlumbaan.
“Sewaktu perlumbaan, saya berada di kedudukan yang cukup baik,” ujar Marquez.
“Saya memecut dari awal untuk dapat momentum di bawah 2 minit 4 saat. Namun bila sedar jarak sudah baik, saya hanya mengawal jentera dan hanya mengikut rentak, saya memang selesa.
“Tapi memang kadang-kadang ia berlaku. Saya kecewa dan sukar untuk difahami, tapi beginilah. Apa yang perlu kami lakukan sekarang ialah fokus pada perlumbaan seterusnya di Jerez dan cuba fahaminya.”
“Tapi kami hanya sembilan mata dari pendahulu carta, Dovizioso. Saya gembira kerana saya masih di sini untuk merebut gelaran juara.”
Ditanya tentang punca kemalangan tersebut sekali lagi beliau menegaskan, “Saya tak tahu. Sudah tentu, ia satu kesilapan kerana anda tidak boleh terbabas bila sudah mendahului sehingga 3.5 saat – Ini adalah satu kesilapan.
“Bila kami bandingkan data perlumbaan tahun lalu, tiada yang aneh. Tapi beginilah, bila anda berlumba dengan posisi konsisten, anda akan rasa kuat, tapi kesilapan mungkin berlaku.”
Marquez turut menafikan kenyataan yang dibuat Jack Miller menyatakan yang beliau terlalu “memaksa” jenteranya dan menyebabkan tayar hadapan terlalu panas.
Beliau memberi respon “Seperti yang saya beritahu, data menujukkan tiada yang berbeza. Sama dengan perlumbaan tahun lepas, sama dengan lap terpantas saya pun.
“Tapi sudah tentu, selekoh tersebut ada titik berhenti yang panjang dan kadang-kadang sukar untuk difahami.
“Kesilapannya ialah – saya terbabas. Tapi saya tak lakukan apa-apa yang bodoh pun. Kadang-kadang saya berkata ‘OK. saya dah terlebih dari limit ni’, tapi kali ini, saya masih dalam had perlumbaan. Saya menunggang dengan lancar, cuba untuk jimatkan tayar depan.
“Saya tak terima apa-apa tanda amaran pun. Saya tunggang seperti biasa, lebih kurang di Argentina.