
PERODUA SUMBANG PERALATAN PERUBATAN DAN HAMPER BERNILAI LEBIH RM87K KEPADA HOSPITAL BESAR SHAH ALAM
Perodua meneruskan usahanya dalam menyokong institusi awam utama di seluruh negara dengan menyumbang peralatan perubatan dan hamper bernilai RM87,967 kepada Hospital Besar Shah Alam.
Inisiatif berterusan itu bertujuan menyokong usaha pasukan barisan hadapan kesihatan Malaysia dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan di seluruh negara.
Turut hadir ke majlis penyerahan di Hospital Besar Shah Alam ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad dan Pengarah Hospital Besar Shah Alam, Dr Ruzita Othman.
Perodua menyumbang 1 unit Free Standing Warmer, 3 unit Photolight, Jelipad berteknologi tinggi, 7 unit stetoskop neonat, 1 set LSCS yang digunakan semasa pembedahan dan 10 unit gunting pembedahan ke wad pediatrik hospital berkenaan.

Pembuat kereta kompak tersebut turut menaja hamper kepada para pesakit dan pasukan barisan hadapan.
Zainal berkata Perodua mengiktiraf kepentingan usahasama antara awam dan swasta dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan di negara ini.
“Kami ingin menjadi warga korporat yang bertanggungjawab. Selain akan membantu semampu boleh dalam memastikan akses kepada bekalan perubatan untuk hospital dan keseluruhan sistem penjagaan kesihatan adalah konsisten,” katanya.
Perodua akan terus berkomunikasi dengan institusi-institusi awam utama dan Kementerian Kesihatan untuk melihat di mana kami boleh memberikan nilai tambah dalam sistem penjagaan kesihatan negara.
Setakat ini, Perodua telah menyumbang bekalan perubatan kepada hospital-hospital awam termasuklah Hospital Sungai Buloh, Hospital Selayang dan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah di Likas.







