" "
Artikel Pilihan

PETROL RON 95, BOLEH PAKAI DI KERETA MEWAH ATAU TIDAK?

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Topik tentang petrol gred RON95 di negara kita seringkali menjadi buah mulut netizen. Ada yang kata tak boleh digunakan untuk enjin berkuasa tinggi, ada yang kata boleh.

Mari kita kupas dengan santai.

Pertama sekali kita mestilah tahu maksud RON itu terlebih dahulu. RON merupakan singkatan kepada “Research Octane Number”. RON merupakan salah satu cara untuk mengukur tahap “Octane Rating”. “Octane Rating” pula merujuk kepada tahap ketahanan petrol itu terhadap tekanan tanpa terbakar dengan sendirinya. Lebih tinggi nilai “Octane Rating” bermaksud petrol itu lebih tahan kepada tekanan.

Antara cara lain untuk mengukur “Octane Rating” adalah seperti berikut :-

  • Motor Octane Number (MON)
  • Anti-Knock Index (AKI) atau (R+M)/2

Kebanyakan negara menggunakan RON sebagai kayu pengukur “Octane Rating”, namun ada sesetengah negara menggunakan MON dan juga AKI.

Nilaian RON, MON dan AKI juga berbeza. Perbezaan nilaian RON dan MON adalah sekitar 8-12 “Octane Rating” manakala perbezaan RON dan AKI adalah sekitar 3-6 “Octane Rating”. Perbezaan “Octane Rating” merujuk kepada Petrol yang sama.

Pening ?

Kita ambil contoh mudah.

RON95 bersamaan dengan MON85-86.

RON95 bersamaan dengan (R+M)/2 /AKI92-93.

Disebabkan itu anda akan nampak terutamanya di dalam filem Hollywood khususnya stesen minyak di USA mempunyai nilaian “Octane Rating” lebih rendah dari Malaysia. Sebenarnya grednya adalah sama, cuma metodologi pengukurnya yang membezakan.

USA dan Canada menggunakan metodologi AKI atau (R+M)/2.

Berbalik kepada topik asal kita iaitu RON95, dewasa ini seringkali kita ditunjukkan di Media Sosial dimana pengguna kereta mewah menggunakan petrol RON95 pada jentera mereka.

Boleh ke ? Tak rosak ?

Seperti yang diterangkan diatas, lebih tinggi “Octane Rating” bermaksud lebih tahan Petrol itu daripada tekanan. Namun begitu, kebanyakan kenderaan moden sekarang dilengkapi dengan “Knock Sensor” dan juga “Engine Management System”.

Apabila RON95 digunakan kepada jentera berkuasa tinggi, tidak kira jentera tersebut menggunakan enjin “Naturally Aspirated” (NA) ataupun “Forced Induction” (Turbocharged/Supercharged), “Knock Sensor” akan mengesan berlakunya “Knocked/Pinging” di dalam silinder dan memberi isyarat kepada ECU. Kemudian, ECU akan melaras “Ignition Timing” sesuai dengan keadaan bagi mengelakkan “Knock/Pinging” berlaku.

Tidak perlu risau, kerana setiap pengeluar telah melakukan “Tuning” dari kilang dan segala tindakbalas ECU terhadap RON yang digunakan adalah secara automatik.

Maknanya ? Enjin anda tidak rosak Tuan-Tuan. Boleh je pakai tanpa masalah.

Namun begitu, akan ada kesannya iaitu kuasa dari enjin tidak dapat di ekstrak secara optimum. Dalam erti kata lain enjin akan kurang berkuasa dari yang sepatutnya. Situasi ini hanya terpakai kepada enjin berprestasi tinggi. Kalau kereta penumpang biasa kesannya tidak terlalu signifikan.

Disebabkan itu kebanyakan pengeluar melakukan proses homoglasi pada model mereka hampir di setiap negara supaya model yang mereka jual sesuai menggunakan petrol di negara tersebut.

Kita ambil contoh.

Honda Civic FK8 Type R di Australia mempunyai kuasa sebanyak 306hp berbanding 316hp di negara lain. Hal ini kerana kurangnya akses terhadap petrol yang mempunyai “Octane Rating” yang tinggi di negara tersebut. Disebabkan itu pihak Honda melakukan proses “Detuned” pada model ini bagi membolehkannya beroperasi dengan petrol yang mempunyai tahap “Octane Rating” yang rendah tanpa masalah.

Akan tetapi, enjin anda berisiko tinggi untuk menggunakan RON95 atas sebab seperti berikut :-

Sekiranya anda telah melakukan modifikasi terhadap enjin dan sudah melakukan “Tuning” berasaskan RON97 dan keatas, enjin anda berada dalam risiko disebabkan “Knock” yang berlaku.

Ataupun,

Sekiranya jentera anda diimport dari negara tertentu dan pihak pengeluar itu sendiri menetapkan “Octane Rating” minimum ialah RON97 atau lebih.

Ataupun,

Enjin jentera anda mempunyai “Compression Ratio” yang tinggi. Sebagai contoh Honda Civic FD Type R. Jentera ini memerlukan minimum RON98 untuk beroperasi pada tahap optimum. Boleh je sumbat RON95, tapi enjin akan mula “Knock” apabila RPM tinggi. Takkan lah bawa FD2R tak on VTEC kan ?

Cara terbaik adalah “Tuning” balik berasaskan RON95.

Honda Civic FK8 Type R tiada masalah menggunakan RON95 jika ditala semula.

Nissan GTR R35 tiada masalah menggunakan RON95 jika ditala semula.

Volkswagen Golf GTi/R tiada masalah menggunakan RON95 jika ditala semula.

Jadi Tuan-Tuan, diharap perkongsian ini mampu memberi pencerahan terhadap sebab dan akibat daripada penggunaan RON95 kepada jentera anda. Ada baik dan ada buruknya. Akhir kata, di Langkawi boleh dapat ke RON97 keatas ?

Google ads
Back to top button