
PENGHANTARAN PEUGEOT 408 BERMULA, 60 PERATUS PELANGGAN MEMILIH VARIAN GT
PEUGEOT Malaysia baru-baru ini telah melakukan penghantaran kumpulan pertama PEUGEOT 408 kepada 9 pemilik pertama di Malaysia.
Penghantaran kenderaan ini berlangsung di Malaysia Autoshow 2024 di mana kesemua 9 pemilik bangga menerima dan memandu pulang PEUGEOT 408 baharu mereka sejak membuat tempahan pada pertengahan April.
Dilancarkan April lalu, PEUGEOT 408 ditawarkan dalam tiga varian pemasangan tempatan (CKD) pada harga bermula RM146,055.
Menurut PEUGEOT Malaysia, PEUGEOT 408 serba baharu telah mendapat maklum balas positif, dengan menerima lebih 300 tempahan.

Sejak tempahan dibuka, 60 peratus pelanggan memilih varian GT, 22 peratus Premium dan 18 peratus untuk Allure.
Tambahnya lagi, ini adalah bukti permintaan pasaran dan populariti kereta kerana PEUGEOT 408 serba baharu benar-benar dalam segmennya tersendiri.
Dibina berasaskan EMP2 (Efficient Modular Platform) multi-tenaga, PEUGEOT 408 serba baharu memiliki dimensi 4,687mm panjang, 1,859mm lebar dan tinggi 1,487mm, dengan jarak roda sepanjang 2,787mm dan kelegaan tanah setinggi 189mm.

Kesemua varian dikuasakan oleh enjin PureTech pengecas turbo 1.6 liter empat-silinder, berupaya menghamburkan kuasa 218hp @ 5,750rpm dan tork 300Nm @ 2,000rpm.
Nadi berkenaan dipadankan bersama transmisi automatik lapan-kelajuan dengan kuasa disalurkan ke roda hadapan.
Perincian harga bagi setiap varian adalah seperti berikut:
- Allure: RM146,055
- Premium: RM166,055
- GT: RM196,055
Harga dinyatakan di atas adalah termasuk jaminan sehingga 7 tahun atau perbatuan sejauh 200,000km, mana-mana tiba dahulu.
Pengarah Urusan Stellantis Malaysia, Jamie Francis Morais berkata, “Hari ini menandakan titik permulaan bagi PEUGEOT 408.
“Maklum balas adalah positif, dan kami berharap untuk mengekalkan dan mengikuti momentum 408.”