Pandu Uji

PANDU UJI: PEUGEOT 408 e-THP, GABUNGAN EMOSI & KUASA

Ketika minat pasaran mula beralih kepada segmen SUV kompak (crossover) dan sedan segmen B, antara kelas kenderaan yang mengalami kesan ketara ialah sedan segmen C.

Semua pengeluar mengakui bahawa jumlah jualan sedan tersebut mengalami penurunan. Namun, situasi itu tidak pula membuatkan mereka mengabaikan terus  jualan model tersebut. Sebaliknya, mereka tetap menawarkannya kepada pasaran dengan harapan ia kembali menerima sambutan.

Peugeot-eTHP-test-drive-mekanika (2)

Ya lah, bukan semua orang suka SUV dan mungkin sedan segmen B kurang selesa untuk mereka. Lagipun, masih ramai juga yang gemarkan praktikaliti dan kualiti pemanduan yang ditawarkan oleh sedan sebegini.

Peugeot sedar tentang hal itu. Maka, pada Jun lalu, Nasim Sdn. Bhd. (Nasim) memperkenalkan model baharu sedan eksekutif 408 e-THP. Jangan silap pula, ini bukan kereta elektrik atau hibrid. Huruf ‘e’ itu tidak ada kena mengena dengan elektrik atau sebagainya. Sebaliknya, ia bermaksud ‘efficient’ merujuk kepada sistem start/stop yang berfungsi menjimatkan penggunaan bahan api.

408 muncul buat kali pertama pada acara Beijing International Automobile Exhibition 2014. Sedan tersebut dilihat sebagai pertaruhan terbaik PSA Peugeot Citroen Group untuk bersaing dalam segmen C lebih premium di pasaran China. Lebih unik lagi, 408 hanya ditawarkan di dua buah negara, iaitu Malaysia dan China.

Peugeot-eTHP-test-drive-mekanika (13)

Jentera ini juga tidak menggantikan model 407, tetapi lebih kepada versi sedan untuk model Peugeot yang terlebih dahulu popular di pasaran Malaysia, 308. Dipasang tempatan di kilang milik Naza di Gurun Kedah, 408 e-THP ditawarkan dalam satu varian sahaja. Senang, tak payah pening fikir nak beli yang mana satu. Betul tak?

408 e-THP boleh anda miliki pada harga RM143,888 seunit (di atas jalan termasuk insurans. “Mak ai… pasaipa mahai sangat? CKD je kot,” komen seorang kawan.

Harga itu memang agak mahal untuk sebuah sedan segmen C. Malah, dengan wang itu, anda boleh membeli sebuah model entry level segmen D. Apatah lagi Peugeot jarang menjadi pilihan utama berbanding Honda Civic, Toyota Altis, Mazda3 ataupun Hyundai Elantra.

Peugeot-eTHP-test-drive-mekanika (16)

Tetapi, harus tahu bahawa 408 e-THP bukan mahal saja-saja. Teknologi dan ciri yang ada padanya mungkin boleh bertindak sebagai justifikasi ke atas harga tersebut.

Kita mulakan dengan rangkaian kuasa enjin turbo bertekanan tinggi (THP) bersesaran 1.6 liter. Mampu menjana sehingga 165bhp dan tork puncak 245Nm, anda boleh merasa tujahan kuasanya serta-merta. Penghantaran kuasa ke roda hadapan melalui kotak gear Aisin enam kelajuan juga cukup lancar.

Peugeot-eTHP-test-drive-mekanika (11)

Teknologi QuickShift membuatkan pemanduan menjadi lebih menyeronokkan. Sama ada di lebuh raya atau di jalan kampung, urusan menaiki jalan berbukit atau memotong kenderaan lain nyata sangat mudah.

Kombinasi enjin dan kotak gear itu didakwa mampu menawarkan penjimatan bahan api sekitar 6.5 liter bagi setiap 100 kilometer. Namun, sudah pasti ia sangat bergantung kepada corak pemanduan dan kondisi trafik semasa.

Peugeot-eTHP-test-drive-mekanika (6)

Selain kualiti pemanduan yang sangat Eropah, saya cukup sukakan ruang kabinnya. Dikenali sebagai i-Cockpit, rekaannya cukup minimalis. Tidak ada banyak butang. Operasi sistem hiburan atau pendingin hawa perlu dilakukan menerusi skrin sentuh bersaiz 9.7 inci pada bahagian tengah papan pemuka.

Saya cuma agak keliru dengan kedudukan jarum meter rpm yang berlawanan arah jam dan diletakkan pada sebelah kanan. Mungkin Peugeot mahu tampil berbeza, tetapi pemandu memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri.

Mungkin tidak ada pada kereta lain, sedan ini didatangkan dengan pilihan bunyi indikator isyarat membelok. Jadi, kalau anda sudah bosan dengan bunyi konvensional, tukar sahaja dengan tiga bunyi yang lain.

Peugeot-eTHP-test-drive-mekanika (7)

Sama seperti model 308 THP, stereng bersaiz kecil itu digunakan. Sedap dipegang, maklum balas yang diberikan juga mantap dan meyakinkan. Terutama ketika sedang asyik melayan selekoh.

Berbanding dengan model hatchback, olengan tubuh sedan ini bagaimanapun sedikit ketara. Namun jangan bimbang kerana ada sistem ESC yang akan menyelamatkan keadaan.

Penat memandu lama? Berita baik untuk anda kerana tempat duduk pemandu yang dibalut kulit berwarna hitam itu hadir bersama ciri urutan. Mendapatkan posisi pemanduan juga semakin mudah kerana ia boleh dilaras secara elektrik.

Peugeot-eTHP-test-drive-mekanika (3)

Dibina di atas Efficient Modular Platform (EMP) 2, sedan ini lebih ringan dan selari dengan profail korporat model-model baharu Peugeot.  Bukan itu sahaja, 408 e-THP mampu menawarkan ruang but yang cukup besar iaitu 565 liter. Jadi, apa jua beg atau barang yang ingin dibawa untuk balik kampung atau bercuti boleh diangkut tanpa sebarang masalah.

Sebagai sebuah sedan yang mementingkan aspek keselamatan, jentera ini dilengkapi sistem Blind Spot Info System (BLISS). Ciri itu berfungsi memberi amaran kepada pemandu dengan kerlipan lampu pada cermin sisi, jika terdapat kenderaan dalam titik buta anda. Ia sangat berguna terutama ketika anda hendak menukar haluan atau memotong kenderaan lain di lebuh raya.

Peugeot-eTHP-test-drive-mekanika (12)

Nak mengaku atau tidak, bukan semua mahir masuk parking macam abang Japar. Kalau tak, takkan banyak betul video yang tunjuk orang terkial-kial masuk parking. Haa… Dengan 408 e-THP, masalah itu tidak ada lagi kerana ada Smart Parking Assist.

Sistem ini membantu anda memarkir sama ada di ruang parkir selari atau menegak secara automatik. Hanya perlu kawal pedal brek, minyak dan tukar kedudukan gear apabila perlu. Senang betul.

Peugeot-eTHP-test-drive-mekanika (15)

Dari segi penampilan, 408 e-THP nyata segak dengan rekaan yang tidak over-design. Bahagian hadapan diserlahkan dengan gril radiator krom bersama logo singa di tengah-tengahnya yang kemudiannya diapit oleh sepasang lampu LED.

Bagi memberi ketenangan minda kepada pemiliknya, Nasim menawarkan jaminan selama lima tahun tanpa had perbatuan. Di samping servis Peugeot Roadside Assistance 24 jam untuk tempoh tiga tahun pertama. Anda juga akan diberi akses percuma ke Peugeot Lounge di Lapangan Terbang Subang dan keahlian Peugeot Privilege.

Kalau saya senaraikan satu persatu ciri terbaik yang ada pada 408 e-THP, mungkin anda tidak larat nak baca. Kereta ini bukan untuk mereka yang sibuk nak kira resale value selepas dua tiga tahun. Tetapi memang sesuai buat anda yang mahu tampil berbeza dan tahu menghargai kualiti pemanduan serta binaan sebuah jentera jenama Eropah.

Google ads
Back to top button