Buletin

PEUGEOT LANCAR MODEL 308 & 308 SW BAHARU. CUN HABISSS

Dalam dunia automotif, jenama Perancis Peugeot memang sinonim dengan rekaan elegan dan pengalaman pemanduan yang menyeronokkan. Sejak beberapa dekad lalu, model 308 menjadi antara pilihan utama di segmen C di Eropah, terutama segmen yang menempatkan sedan dan wagon kompak dan bersaing rapat kepada Volkswagen Golf, Ford Focus, atau Toyota Corolla.

Kini Peugeot memperkenalkan model terkini 308 dan 308 SW (wagon) serba baharu, dengan pakej lebih lengkap melalui pilihan enjin yang pelbagai termasuk varian elektrik sepenuhnya, rekaan luaran yang lebih berkarakter, kabin moden penuh teknologi, serta kelengkapan untuk gaya hidup urban hari ini.

Sejak generasi terdahulu, Peugeot 308 sudah dikenali dengan gaya berani termasuklah:

  1. Logo bercahaya buat kali pertama – Emblem singa Peugeot kini boleh menyala di bahagian depan, menjadikannya tarikan visual utama. Ia bukan sekadar gaya, tetapi turut menyembunyikan radar keselamatan.
  2. Lampu tiga “cakar” LED – Identiti Peugeot semakin kuat dengan lampu hadapan berbentuk tiga garis nipis. Ia juga berfungsi sebagai DRL dan signal lampu sequential untuk varian lebih tinggi.
  3. Gril baharu dengan kemasan warna badan – Rekaan kemas dan aerodinamik, dioptimumkan untuk aliran udara serta mengurangkan penggunaan bahan api.
  4. Bahagian belakang elegan – Semua varian kini tampil dengan lampu LED tiga cakar, dipadankan jalur hitam berkilat di tengah.

Untuk varian GT, ciri lampu dan logo bercahaya datang sebagai standard.

Bagi yang suka gaya lebih rekaan sporty, Peugeot 308 hatchback memang nampak berani dengan bentuk seimbang. Kalau perlukan ruang lebih luas, 308 SW wagon menambah elemen praktikal tanpa mengorbankan elegan.

Peugeot menawarkan warna menarik termasuk Lagoa Blue (eksklusif untuk 308) dan Ingaro Blue (untuk 308 SW). Rim aloi potongan berlian juga direka khas dengan pilihan17 inci untuk varian Allure, 18 inci untuk GT dan GT Exclusive. Versi elektrik pula semua dapat rim 18 inci sebagai standard.

Masuk ke dalam, jelas terasa nuansa moden. Rekaan papan pemuka i-Cockpit Peugeot kekal unik dengan stereng kompak dan kluster digital di atasnya.

  • Paparan digital 3D – lebih jelas, hadir standard pada GT Exclusive.
  • Skrin tengah 10 inci – sistem infotainmen i-Connect/i-Connect Advanced (bergantung pada varian).
  • 5 butang i-Toggles – butang sentuhan boleh diprogram ikut keselesaan, contohnya terus akses aircond atau destinasi rumah.
  • Ambient lighting 8 warna – mencipta suasana kabin lebih premium.
  • Material berkualiti – penggunaan aluminium sebenar, Alcantara, serta kemasan fabrik khas untuk varian Allure dan GT.

Bagi varian 308 SW, praktikaliti memang diutamakan dengan cirikerusi belakang boleh lipat 40/20/40, lantai but dua tingkat, ruang simpanan dari 598 liter hingga 1,487 liter, dan tailgate elektrik untuk kemudahan.

Peugeot menawarkan empat pilihan kuasa untuk 308/308 SW samaada:

  1. Elektrik sepenuhnya (E-308)
    • Motor elektrik 115 kW (156 hp), tork 270 Nm.
    • Bateri 58.4 kWh, jarak pemanduan hingga 450 km (WLTP).
    • Regenerative braking boleh dilaras 3 tahap guna paddle shifter.
    • Cas pantas 100 kW: 20% ke 80% dalam 32 minit.
  2. Plug-in Hybrid (195 hp)
    • Enjin 1.6L turbo 150 hp + motor elektrik 125 hp.
    • Jumlah kuasa 195 hp.
    • Bateri 17.2 kWh, jarak elektrik penuh 85 km.
  3. Hybrid 145 hp
    • Enjin petrol dipadankan sistem mild hybrid, transmisi automatik e-DCS6.
    • Jimat bahan api (sekitar 4.7–5 l/100 km), boleh bergerak dalam mod elektrik separuh masa di bandar.
  4. Diesel 1.5L BlueHDi 130 hp
    • Sesuai untuk pemandu jarak jauh, dilengkapi transmisi automatik EAT8.

Peugeot memang terkenal dengan casis seimbang dan stereng yang “hidup”. Untuk model baharu ini, fokus tetap diberikan terhadap dinamik pengendalian yang jitu bagi menghasilkan kepuasan pemanduan maksima. Semua ini ditawarkan melalaui:

  • Stereng kompak & posisi rendah menjadikan rasa kawalan lebih sporty.
  • Suspensi ditala supaya stabil tetapi masih selesa.
  • Seat AGR (opsyen) dengan pensijilan ergonomik, tambah keselesaan untuk perjalanan jauh.
  • Sistem penapis udara AQS + Clean Cabin – memantau kualiti udara, tapis habuk halus & gas.
  • Skrin infotainmen + AI ChatGPT (varian i-Connect Advanced) – boleh tanya soalan secara interaktif.
  • Sambungan penuh – Apple CarPlay & Android Auto tanpa wayar, 4 port USB-C, dan aplikasi MyPeugeot untuk kawalan jauh.
  • Audio premium Focal® – 10 speaker, amp 690W.
  • Sistem V2L – bateri boleh digunakan untuk kuasa peranti luar (contoh cas basikal elektrik).

Peugeot juga menekankan aspek kelestarian alam melalui model baru ini. Komponen seperti papan pemuka menggunakan gentian hemp, plastik kitar semula pada bampar dan kotak simpanan. 308 baharu mengandungi lebih 30% bahan lestari termasuklah 31% material kitar semula pada struktur utama.

Peugeot 308 dan 308 SW serba baharu bukan sekadar facelift. Ia sebuah evolusi menyeluruh – daripada rekaan lebih agresif, kabin lebih moden, hingga kepada pilihan enjin lengkap dari diesel ke elektrik penuh.

Dengan pelbagai ciri premium, teknologi terkini (termasuk fungsi “Plug & Charge” di stesen awam), dan jaminan bateri 8 tahun/160,000 km, jelas Peugeot mahu 308 menjadi pilihan utama mereka yang inginkan kereta segmen C yang bergaya, praktikal, dan mesra alam.

Model ini akan mula dijual di pasaran Eropah pada musim luruh 2025 dan kalau masuk ke pasaran Malaysia, memang menarik untuk lihat sama ada Stellantis Malaysia berani untuk membawa masuk versi elektrik E-308 atau sekadar hybrid.

Google ads
Back to top button