" "
Buletin

PEUGEOT LANDTREK BAKAL TIBA DI MALAYSIA. PERTAMA DI ASIA PASIFIK, 1.9L TURBO DIESEL, HARGA ANGGARAN RM123K

Bermaz Auto Alliance Sdn. Bhd. baru-baru ini melakukan prebiu trak pikap pertama Peugeot iaitu Landtrek di Glenmarie Shah Alam. Jentera berkenaan bakal menjengah pasaran Malaysia tidak lama lagi dan menjadi yang pertama diperkenalkan di rantau Asia Pasifik. 

Model pemasangan tempatan (CKD) itu merupakan hasil kerjasama dengan pengeluar dari China iaitu Changan Auto. Jadi, trak pikap tersebut dibina di atas platform yang sama digunakan oleh Changan Kaicheng F70.

Dari segi dimensi, ia mempunyai lebar 1.92 meter, panjang 5.39 meter (single cab) dan 5.3 meter untuk double cab. Berat Landtrek adalah sekitar 1900kg sehingga 2,060kg bergantung pada varian. Ia mampu membawa beban seberat 1 tan. Jarak kelegaan tanah adalah sekitar 214mm.

Bahagian hadapan Landtrek diserlahkan dengan gril hitam krom bersama logo Peugeot bersaiz besar. Sepasang lampu utama LED, lampu kabus dan scuff plate berwarna kelabu membuatkan penampilan Landtrek ini lebih garang.   

Bahagian sisi tampil menarik dengan penggunaan rim dua tona bersaiz 18 inci yang dibalut tayar All-Terrain Goodyear Wrangler. Tidak ketinggalan pemijak sisi, roof rails dan sport bar. 

Gayaan belakang pula nampak menarik dengan kemasan krom pada bampar, sepasang lampu LED dan logo serta tulisan PEUGEOT. 

Melihat ke ruang kabin, Landtrek yang hadir dalam bentuk double cab itu memang kelihatan moden dengan susun atur rekaan terkini kenderaan Peugeot.

Ia dilengkapi skrin sentuh bersaiz 10 inci dan stereng yang diambil daripada SUV 5008. Skrin sentuh itu menawarkan ketersambungan dengan Apple CarPlay dan Android Auto. 

Trak pikap itu menggunakan enjin turbo diesel 1.9 liter yang diambil daripada Isuzu. Dipadankan dengan kotak gear automatik enam kelajuan, ia mampu menjana kuasa 150hp dan tork 350Nm. 

Tempahan sudah dibuka dan harga Landtrek dianggarkan bermula RM123,000.

Landtrek bakal memeriahkan lagi pasaran trak pikap tempatan yang sejak sekian lama dikuasai oleh jenama dari Jepun seperti Toyota Hilux, Mitsubishi Triton, Mazda BT-50 dan Isuzu D-Max. Pengguna juga turut ditawarkan dengan model dari China seperti JMC Vigus Pro dan Maxus T60.  

GALERI

Google ads
Back to top button