WARGA EMAS TIPU ORANG RAMAI DI BANGSAR – MINTA WANG, KONONNYA PERLU BAIKI KERETA
Seorang pengguna Facebook memaklumkan di laman Facebook Republik Bangsar mengenai seorang warga emas yang dikatakan penipu. Lelaki warga emas itu didakwa mencari mangsa di tepi jalan di Bangsar.
Netizen lain turut memberi amaran kepada orang ramai supaya berhati-hati kerana ada beberapa orang telah ditipu dengan memberi sejumlah wang. Modus operandinya ialah meletakkan kereta di tepi jalan dan meminta wang untuk membaiki kenderaannya yang kelihatan agak uzur.
Bagi meyakinkan orang ramai, warga emas itu akan mendakwa dirinya sebagai orang kelainan upaya (OKU). Melihat pada ruangan komen, beberapa orang pernah melihatnya di kawasan lain di Kuala Lumpur termasuk Ampang, Pandan Indah dan KL Sentral.
Pengguna Twitter @braderlongheh berkata lelaki warga emas itu cuba mendapatkan simpati dengan mengatakan dia menghidap diabetes. Maklumat lain, @braderlongeh turut menyatakan bahawa lelaki itu pernah mengusahakan sebuah kafe bertemakan Timur Tengah di Bukit Bintang.
Seorang netizen berkata dia pernah memberikan RM200 kerana berasa kasihan dengan nasib warga emas itu. Sementara seorang lagi mangsa, Brian Choo, pernah membantunya melintas jalan di Damansara Heights, tetapi pada akhirnya warga emas itu tetap meminta sejumlah wang.
“Bukan mudah untuk mengenalpasti siapa yang benar-benar memerlukan dan siapa yang hanya ingin mencari wang. Inilah sebabnya saya sentiasa lebih suka membantu haiwan terbiar, di mana ia tidak pernah diragui, mereka benar-benar memerlukan,” respon netizen di ruangan komen.
“Ya dia penipu. Saya pernah berhenti untuk membantu. Ternampak dia di sepanjang Jalan Maarof sejurus selepas lampu isyarat BSC. Saya bertanya sama ada dia memerlukan bantuan, dia meminta RM200. Saya memberitahunya saya tidak mempunyai wang tunai, kemudian saya menawarkan untuk membantu menghubungi syarikat insuransnya tetapi dia berkata dia memerlukan wang tunai,” komen netizen lain.
Tidak lama kemudian, seseorang memberikan komen bahawa dia telah pun ditahan oleh pihak polis pada hari ini. – The Rakyat Post