" "
Buletin

POLIS PERONDA JEPUN TAHAN LAMBORGHINI HURACAN – SAMBIL KAYUH BASIKAL JER..

Seorang anggota polis di Jepun baru-baru ini mendapat perhatian ramai apabila beliau dirakam ‘mengejar’ dan menahan sebuah Lamborghini Huracan dengan hanya menaiki basikal.

Pemandu supercar tersebut ditahan kerana didapati membuat pusingan di lokasi yang tidak dibenarkan. Ada juga yang mendakwa bahawa pemandu itu melanggar satu lampu isyarat.

Rakaman klip video berdurasi 1 minit 19 saat itu bermula dengan sebuah Lamborghini Huracan berwarna oren itu berhenti di satu simpang sebelum membelok ke arah kiri.

Tidak lama kemudian, kelihatan seorang anggota polis berseragam biru mengayuh basikal dengan pantas menuruni bukit untuk mengejar Lamborghini terbabit.

Walaupun mempunyai kuasa kuda yang cukup tinggi, pemandu itu bagaimanapun mematuhi arahan polis berkenaan dan berhenti di bahu jalan. Pegawai itu kemudian dilihat melutut di sebelah pintu pemandu untuk menulis saman atau menerangkan apakah kesalahan yang telah dilakukan. 

Harus tahu bahawa beliau ialah seorang polis peronda dan bukannya seorang polis trafik. Insiden ini jelas menunjukkan dedikasi polis di Jepun dan bagaimana tiada siapapun boleh berada di atas undang-undang, tidak kira apa pun kenderaan yang mereka pandu.

Video itu dikongsi oleh satu saluran YouTube comb318 yang memang terkenal kerana menyiarkan video-video mengenai pelanggaran peraturan jalan raya, ramen, pemandangan indah di Jepun dan macam-macam lagi.

Sebagaimana dijangka, video yang telah ditonton lebih 4.5 juta kali itu menerima banyak komen melucukan daripada netizen. Antaranya termasuklah:

“Saya ingatkan peronda bermotosikal, tetapi bukan, polis itu naik basikal!”

“Ditahan polis yang menaiki basikal yang biasa digunakan oleh suri rumah? Memang memalukan.”

“Whoa, tahan Lamborghini dengan basikal? Polis ini layak menerima pingat.”

Google ads
Back to top button