Artikel Pilihan

POLISI PENGURUSAN KENDERAAN AKHIR HAYAT, ADA PRO & KONTRA

Pihak kerajaan sekali lagi mengemukakan cadangan bagi melaksanakan polisi pengurusan kenderaan akhir hayat atau end of life vehicle mulai tahun 2025. Kali pertama cadangan ini dibuat ialah pada tahun 2009 dan ia telah dikemukakan beberapa kali oleh pihak kerajaan. Dan ia tinggal cadangan semata-mata.

Pada tahun 2022 cadangan ini sekali lagi dibuat oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi iaitu Datuk Seri Adham Baba. Antara kelebihan jika polisi ini dilaksanakan ialah pelbagai komponen dan bahan kereta yang masih boleh digunakan boleh dikitar semula dalam industri automotif

Sebenarnya penulis ada beberapa pandangan berkenaan dengan isu ini samaada bersetuju dan juga tidak bersetuju dengan cadangan tersebut. Pada dasarnya penulis bersetuju kerana pada pengamatan penulis sendiri banyak kenderaan lama didapati terbiar dan berada dalam keadaan yang menyedihkan di sekitar taman-taman perumahan

Cermin pecah, tayar pancit, ditumbuhi lalang dan ada yang sudah kehilangan komponen dan juga masalah karat berlaku pada kenderaan ini. Mungkin kereta ini ada pemiliknyasatu ketika dulu, tapi pemiliknya sudah meninggal dunia dan masalah faraidh yang belum selesai menyebabkannya tidak dapat digunakan oleh waris

Jika kenderaan ini sudah tidak dapat digunakan maka adalah lebih baik ia dikitar semula agar tidak menjadi pembiakan haiwan, menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes dan juga tidak menyakitkan mata memandang. Ruang yang dikosongkan juga boleh digunakan oleh pemilik kereta lain jika kereta diparkir di kawasan awam

Ada juga kenderaan yang terlalu teruk keadaannya tapi terus digunakan di atas jalan raya. Keadaan kereta terlalu uzur, asap berkepul kepul, lampu tidak menyala dan lampu isyarat membelok telah rosak juga boleh membahayakan pengguna jalan raya lain. Kereta dalam keadaan sebegini wajar dikitar semula.

Tapi pada masa yang sama penulis juga tidak setuju dengan polisi ini kalau kenderaan yang masih elok dan boleh digunakan dilupuskan dengan begitu sahaja. Kenderaan ini dijaga dengan elok, masih lagi berkilat dan selamat untuk digunakan. Takkanlah kita nak musnahkan kereta sebegini.

Lagipun tak semua pengguna jalan raya mampu membeli kereta baru yang harganya semakin meningkat setiap tahun sedangkan mereka amat memerlukan kereta tersebut untuk bergerak, bekerja dan menjalani kehidupan setiap hari. Takkan nak order Grab setiap hari, pisang la. Dengan kos hidup yang makin meningkat setiap hari, pembelian kereta baru adalah sangat membebankan pengguna

Jadi jika pihak kerajaan ingin melaksanakan polisi jangka hayat kenderaan, pastikan polisi tersebut adil, mengambil kira faktor sosio ekonomi rakyat dan pada masa yang sama memastikan jaringan perkhidmatan kenderaan awam dipertingkatkan.

Cadangan penulis, kerajaan boleh melaksanakan polisi sukarela bagi menggalakkan pemilik kenderaan lama dan terbiar serta tidak digunakan untuk menyerahkan kereta mereka untuk dilupus dan dikitar semula. Sebagai timbal balas, mereka layak menerima voucher diskaun dalam bentuk cukai bagi pembelian kereta baru.

Voucher ini boleh dipindah milik kepada isteri, suami, dan juga anak-anak mereka. Jangan la bagi voucher RM 1000, bagi terus potongan cukai sebanyak RM 10,000 maksimum bergantung pada keadaan kereta. Baru la berbaloi serta letak jangka hayat voucher ini selama 5 tahun untuk digunakan.

Kedua, kalau pemilik masih sayangkan kenderaan mereka tak ada masalah untuk tidak melupuskan kenderaan. Pemilik mungkin perlu mendaftar sebagai kenderaan klasik dengan syarat pelepasan mesti sesuai dengan keadaan semasa.

Pemilik mungkin perlu menukar cataltyc converter atau menukar terus sistem ekzos terkini supaya pelepasan asap adalah selamat. Mungkin juga kalau keadaan enjin sudah teruk, mereka perlu menukar enjin yang baru dan cekap tenaga serta sesuai dengan kehendak semasa.

Cadangan ketiga ialah pihak kerajaan boleh memulakan inisiatif bagi membenarkan pemilik kenderaan lama menukar trenkuasa enjin pembakaran dalam kepada kereta elektrik. Apa yang perlu dibuat ialah pihak kerajaan melantik syarikat swasta sebagai pembekal dan pemasang alatan komponen elektrik dan semua kerja-kerja ini perlu disahkan oleh agensi kerajaan.

Jadi pengguna kereta elektrik makin bertambah, rakyat tak perlu melupuskan kenderaan malah dijadikan kereta elektrik. Dengan ini industri dan ekonomi berkaitan automotif negara boleh terus berkembang lantas mewujudkan peluang perniagaan dan pekerjaan baru pada rakyat.

Jadi apa pula pendapat anda berkenaan dengan polisi pengurusan kenderaan akhir hayat yang dicadangkan oleh pihak kementerian? Ok ke tak OK?

Google ads
Back to top button