Artikel PilihanBuletin

PORSCHE 597 JAGWAGEN; NENEK MOYANG KEPADA CAYENNE

Porsche merupakan satu nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi kepada peminat model sport dan mewah. Sebut saja 911 rasanya tidak ada peminat yang akan bertanya ianya dari model apa. Di Malaysia saja boleh dikatakan berderet Porsche Cayenne sejak ia mula diperkenalkan.

Panamera? Di bandar Kota Bharu pun ada lebih dari sedozen. Di kodiang misalnya dah banyak yang pakai. Jika anda rasakan Cayenne merupakan model SUV pertama Porsche maka anda telah tersilap. Baca artikel ini untuk mengenal moyang kepada Cayenne.

Porsche 597 Jagwagen (6)

Anda merupakan seorang hartawan ataupun jutawan kosmetik dan perlukan sebuah kenderaan yang menonjol untuk tujuan publisiti. Sebuah Cayenne ataupun Panamera rasanya sudah terlalu biasa. Jadi inilah peluang anda untuk memiliki model pacuan empat roda vintaj Porsche. Ia dikenali dengan nama Porsche 597 Jagwagen. Jagwagen bermaksud kereta untuk memburu ataupun hunting car.

Ia merupakan model Porsche yang dihasilkan khusus untuk kegunaan tentera Jerman dan hanya dikeluarkan sekitar tahun 1955 hingga 1958. Tiga tahun sahaja hayat pengeluarannya dan hanya 71 unit sahaja dihasilkan dari kilang Porsche di Stuttgart. Daripada jumlah itu, 49 unit sahaja yang dipasarkan kepada orang awam. Selebihnya adalah untuk kegunaan personel tentera. Rasanya satu unit dah tentu dihadiahkan kepada Hitler.

Porsche 597 Jagwagen (4)

Menariknya ia kini muncul untuk lelongan melalui syarikat lelongan Bonhams yang merancang untuk melelongnya sewaktu acara Goodwood Revival. Porsche ini dimiliki oleh seorang pengumpul automotif yang juga berasal dari Jerman. Kalau saya seorang diktator ini kenderaan yang akan saya pandu. Apa kelas nak pakai Hummer. Itu dah terlalu biasa.

Syarikat Bonhams juga meramalkan ramai peminat dunia automotif akan tertarik dengan 597 Jagwagen ini berikutan nilai eksklusif yang ada padanya. Namun perlu diingat harga yang ditawarkan bukannya murah. Jika anda berminat pastikan bidaan anda bermula dengan nilai sekitar RM1 juta!

Porsche 597 Jagwagen (2)

Model ini cukup mahal berikutan nilai sejarah yang ada padanya. Ini merupakan sebuah model yang dibangunkan atas arahan Ferdinand Porsche seratus peratus. Ianya sepanjang 3.7 meter dengan berat kosong 990 kilogram.

Seperti model Porsche 911, enjinnya juga terletak di bahagian belakang dan ditawarkan dengan dua pilihan enjin sama ada boxer 1.5 liter atau boxer 1.6 liter. Kedua-dua enjin ini menggunakan teknologi sejukan udara flat-four yang diambil daripada model Porsche 356.

Porsche 597 Jagwagen (7)

Ia dikategorikan sebagai kenderaan ringan tentera sama seperti Jeep dan juga Land Rover. Asalnya merupakan model prototaip untuk kegunaan tentera Jerman selepas perang dunia kedua tetapi gagal atas faktor ekonomi. Sepertimana Jeep, ia juga direka berdasarkan rekaan monocoque tanpa pintu dengan bahagian sisi yang agak tinggi. Jadi penumpang perlu melompat untuk masuk ke dalam. Rekaan ini penting untuk membolehkan kenderaan mengharungi lopak air yang agak dalam.

Walaupun dihasilkan dalam tahun 1950an, Jagwagen ini sudah pun dilengkapi dengan transmisi manual 5-kelajuan dengan fungsi pacuan dua/empat roda. Kelajuan maksima yang boleh dicapai ialah sekitar 100 km/j. Ia juga mampu mendaki tebing dengan kecuraman 62 darjah. Bukan semua SUV moden mampu melakukannya tau.

Porsche 597 Jagwagen (1)

Jadi jika anda ada wang secukupnya, jangan fikir panjang-panjang lagi. Inilah nenek moyang kepada pacuan empat roda yang sudah bangkit semula dari kubur. Tapi yang ni cantik berkilat dan dijaga dengan rapi. Kalau malu nak bawak masuk bandar pun boleh bawak masuk dusun buat kutip durian dengan bergaya. Kalau pakai Cayenne pun boleh tapi sanggup ke tahan bau durian dalam kereta dari Raub sampai KL?

 

 

 

 

Google ads
Back to top button