Buletin

BERKAKI AYAM DARI PENANG KE JB SEMPENA KEMERDEKAAN, TERIMA KASIH KELAB DEMAK

Macamana cara anda sambut kemerdekaan? Berlumba malam sebelum merdeka? Konvoi ke Port Dickson? Berkumpul di Dataran Merdeka tengok percikan bunga api? Main pikap din lampu isyarat? Duduk rumah sebab kunci motor ayah sorok?

Saya terpegun sekejap bila dijemput ke satu sesi persinggahan satu program berjalan kaki yang dilakukan secara solo oleh individu bernama Nasri Yahya. Ini bukan dari Cheras ke KLCC, perjalanannya dari Perda, Pulau Pinang sampai Johor Bahru!

Laluan di lebuhraya sepanjang 828.7 kiometer ini mungkin sukar kita bayangkan kalau nak berjalan kaki. Apatah lagi dengan berkaki ayam, bayangkan kulit kaki dengan panas aspal waktu tengahari. Namun itulah yang dilalui oleh saudara Nasri sepanjang 3 hari yang lalu.

demak jalan kaki (2)

Ketika ditemui di pejabat urusan Demak Marketing, Batu Caves Kuala Lumpur, Nasri telah menghabiskan 33 jam perjalanan dari Pulau Pinang, ke Kuala Lumpur. Waktu rehat keseluruhannya sekitar 3 hingga 4 jam sahaja di beberapa perhentian R&R.

Beliau diiringi oleh pasukan logistik dan bantuan dari kelab Demak Malaysia (Malaysia Official Demak Club) atau MODC. Menurut presiden MODC, saudara Jusre Abd Razak, idea untuk menyokong program saudara Nasri ini timbul bile menyedari bahawa ia satu program unik yang sangat bermakna untuk rakyat Malaysia.

Tak ada individu yang rasional sanggup untuk lakukan perjalanan sejauh itu dengan berkaki ayam, justeru beliau bersama ahli-ahli MODC telah bersepakat memberi bantuan sekadar yang termampu. Mereka bernasib baik juga kerana mendapat sokongan daripada pengurusan Syarikat Demak Motor Malaysia.

demak jalan kaki (3)

Perjalanan tidak menghadapi sebarang masalah besar. Dalam laluan ini, sebanyak 3 buah motosikal menjadi sebahagian kontinjen perjalanan di samping beberapa buah lagi ahli kelab menunggu di check point yang ditetapkan sebagai pasukan sokongan.

Nasri yang mempunyai stamina terbaik telah melakukan perjalanan dengan konsisten dari Pulau Pinang. Namun apabila tiba di Sabak bernam, beliau mengalami kecederaan kecil di telapak kaki, rawatan kecil dilakukan dan kakinya dilekapkan dengan pembalut luka. Sehingga tiba di Kuala Lumpur, prestasi beliau semakin bagus.

Ditanya motif beliau melakukan program ini, jawapnya ringkas. Beliau ingin rasa sendiri kesusahan yang dilalui pejuang era kemerdekaan dahulu untuk memastikan kita selesa pada hari ini. Bayangkan zaman dahulu orang terpaksa berjuang untuk menentang penjajah, menghadapi pelbagai cabaran termasuk kecederaan dan Ā kematian sementara risiko beliau berjalan hanya sebahagian “kecil” dari derita yang mereka tanggung.

demak jalan kaki (1)

Ketika anda membaca artikel ini, Nasri sudah tiba di Melaka untuk check point kedua. Beliau bakal meneruskan lagi perjalanan ini hingga ke JB yang berbaki lebih 200 kilometer lagi. Jika semuanya berjalan mengikut jadual, mereka akan tiba di JB menjelang sambutan kemerdekaan pada sebelah malam Selasa.

Jadi, kau yang malas-malas tu,sedarlah. Ada banyak cara untuk kita tunjukkan kasih sayang pada negara. Dah, bangun. Mak suruh pergi kedai beli santan tu pergi sekarang!

 

 

 

 

Google ads
Back to top button