Buletin

KTM RC 8 C 2023 HABIS DIJUAL DALAM MASA DUA MINIT. RAIH PENDAPATAN HAMPIR RM37 JUTA

Selepas mencatat jualan laris dalam masa empat minit untuk keluaran 100 unit RC 8 C 2021, jentera 2023 kali ini sekali lagi menunjukkan jualan mengagumkan.

KTM terus memecahkan rekod dengan apabila berjaya menjual KTM RC 8 C 2023 hanya dalam masa dua minit dan membuat keuntungan hampir AS$8.2 juta (RM37 juta).

Tarikan KTM RC 8 C adalah KTM menawarkan pengalaman yang hampir sama dengan menunggang jentera MotoGP. Dengan berat sekitar 160kg dan dikuasakan oleh enjin 899cc, ia mampu mencapai kelajuan sehingga 257km/j.

Selain itu, perubahan ketara untuk jentera 2023 berbanding versi sebelumnya ialah enjin baharu yang dikemaskini dengan mampatan lebih tinggi dan konfigurasi elektronik yang telah disemak semula.

Jadi, pelanggan tidak mahu ketinggalan untuk mendapatkan 200 unit tersedia untuk jentera 2023 ini pada 27 Oktober lalu, pukul 2 petang waktu UK.

Untuk peminat KTM RC 8 C, anda mungkin boleh mencuba nasib dengan jualan di internet. Model 2021 pernah disenaraikan untuk dijual di internet pada harga AS$46,302 (RM212,215). Meskipun harganya lebih mahal dengan peningkatan hampir AS$15,434 (RM70,738), tetapi ia masih berbaloi untuk dibeli.

KTM UK turut mengesahkan peminat boleh melihat lebih dekat jentera terhangat di pasaran itu di Motorcycle Live pada 19 November lalu.

Google ads
Back to top button