
CEO PORSCHE BERKHEMAH BERSAMA STAF DI LE MANS – ATAS BUMBUNG 911 PULA TU
Kita dah biasa sangat dengar ramai pemilik berkhemah dengan kenderaan buatan Porsche tapi jarang kita dengan seorang CEO berkhemah bersama staf bawahan di acara seperti perlumbaan Le Mans. Siap pakai khemah bumbung yang dipasang pada Porsche 911 pula tu. Tapi memang itu yang dilakukan oleh Oliver Blume, CEO Porsche.

CEO berusia 55 tahun itu bermalam selama dua malam bersama isteri beliau sambil menghadiri sambutan ulang tahun ke 100 perlumbaan Le Mans. Mereka menggunakan Porsche 911 berwarna hitam ke acara tersebut. Ye la, takkan nak pandu Alza kot.
Porsche mempunyai tapak perkhemahan mereka sendiri yang mempu memuatkan seramai 400 orang peserta dan mereka menawarkan tiket untuk 200 orang pekerja dan pasangan mereka.

Ia menjadi rebutan dan warga Porsche kerana mereka bukan sekadar dapat bermalam bersama CEO tapi juga dihiburkan dengan persembahan hiburan dan lawatan dari pelumba-pelumba Porsche seperti Andre Lotterer, Dane Cameron dan Nick Tandy. Duta jenama mereka, Mark Webber turut turun padang.
Blume bukan hanya hadir untuk menyaksikan perlumbaan Le Mans tapi mempunyai jadual yang cukup padat sepanjang hujung minggu. Tapi itu bukan halangan untuk beliau menikmati perlumbaan dari kawasan kem yang sangat penting menurut beliau.
Ramai staf Porsche berpuas hati kerana CEO mereka sudi turun padang dalam keadaan santai dengan berseluar pendek dan memakai sandal. Malah beliau dilihat turut beratur bersama staf lain untuk mengambil makanan. Berbeza kan dengan bos jabatan kerajaan? Jangan marah aaa.

Sayangnya jentera hypercar mereka gagal menamatkan perlumbaan dengan baik dan hanya berjaya merangkul tempat ke 9, 22 dan 38. Mereka tewas kepada Ferrari pada tahun ini tapi kehadiran Blume di kem Porsche sedikit sebanyak mengubat kekecewaan kakitangan dan kru-kru pasukan.

