Buletin

PORSCHE UNTUK RALI? KERETA MAHAL UNTUK RALI?!!

Dalam dunia perlumbaan rali di Asia Tenggara atau Asia, jentera yang biasa digunakan ialah kereta bandar seperti Skoda Fabia, Mitsubishi Mirage dan Toyota Yaris. 

Di negara kita pula ialah Proton Satria. Bukan apa, Satria ini murah dan mudah untuk diselenggara. Jika lampu atau bamper pecah, alat ganti boleh dicari walaupun perlumbaan diadakan di pekan kecil.

Di Eropah lain pula ceritanya. Di sana permukaan laluan rali lebih lancar dan lurus atau biasanya dilangsungkan di atas aspal berbanding di Asia dengan keadaan mencabar seperti selut dalam selepas hujan dan jarak selekoh ke selekoh yang dekat.

Selain itu, kereta yang digunakan juga pelbagai daripada Volvo hinggalah kepada Porsche. Kedua-duanya jenama yang asing dalam perlumbaan rali di sini.

Video Porsche beraksi dalam perlumbaan rali dapat ditonton melalui saluran media sosial dan bagaimana kereta yang mahal ini melompat selepas melalui laluan tinggi nampak menyeronokkan.

Porsche yang digunakan biasanya dimiliki pasukan dan pelumba persendirian.

Bagaimana jika Porsche sendiri membina dan kemudian menjualnya kepada yang berminat seperti yang dipraktis kepada pasukan lumba litar?

Itu yang mahu dikaji oleh Porsche apabila sebuah Cayman GT4 Clubsport digunakan sebagai course car untuk perlumbaan ADAC Rallye Deutschland dari 16 hingga 19 Ogos depan.

Kajian ini akan dibuat sama ada Cayman GT4 Clubsport ini sesuai untuk digunakan dalam perlumbaan rali aspal FIA R-GT.

Pada perlumbaan ADAC Rallye Deutschland, kereta ini akan dipandu oleh Romain Dumas yang sebelum ini mencatat rekod memandu VW I.D. R dan memenangi perlumbaan Pikes Peak. Pemenang Le Mans ini turut mempunyai pasukan sendiri dan menyertai perlumbaan rali di serata dunia.

Selain Dumas, kereta ini akan dipandu oleh pemandu Porsche iaitu Richard Lietz dan Timo Bernhard.

Tawaran ini sebenarnya dilihat lebih mudah apabila Porsche Cayman GT4 Clubsport adalah kereta lumba yang digunakan untuk perlumbaan di peringkat global sejak 2016 lagi.

Cayman ini dibekalkan dengan enjin 3.8 liter flat six berkuasa 385 hp. Enjin ini menggerakkan roda belakang dan tentu menarik apabila ia melalui selekoh perlumbaan rali kelak.

Enjin ini dipadankan bersama transmisi dual klac (PDK) dengan tuil gear pada stereng. Untuk kegunaan rali, bahagian bawah kereta dipasangkan pelindung supaya batu dan permukaan kasar tidak merosakkan komponen sensitif.

Selain itu, bahan penyerap yang biasa digunakan pada kereta lumba WRC dipasangkan pada bahagian dalam pintu.

Bagi melihat sendiri Cayman GT4 ini, pihak pengurusan permotoran Porsche menjemput pemandu dan prinsipal pasukan yang berminat untuk datang ke kawasan servis semasa perlumbaan rali yang bermula 16 Ogos nanti.

Keputusan model Porsche yang bakal dibina dan ditawarkan untuk perlumbaan rali akan diputuskan pada penghujung tahun ini berdasarkan maklum balas dan minat daripada bakal pelanggan.

Seronok dan gerun tengok apabila melihat kereta mahal dibelasah di dalam perlumbaan rali. Rasa sayang pun ada.

BACA: PORSCHE GT3RS HANCUR TAPI PEMANDUNYA SELAMAT – TERIMA KASIH ROLLCAGE!

BACA: TAHUKAH ANDA BAGAIMANA PORSCHE 911 MENDAPAT NAMANYA?

Google ads
Back to top button