Buletin

POTONG KOS RM7.6 BILION: NISSAN GUNA RESEPI CHINA

Nissan Motor Co. sedang meneliti cara pembekal dari China mengurus kos secara lebih cekap, dengan sasaran untuk menjimatkan sehingga 250 bilion yen (kira-kira RM7.6 bilion) dalam kos berubah sebagai sebahagian daripada pelan penstrukturan semula syarikat.

Menurut Tatsuzo Tomita, Ketua Transformasi Kos Nissan, strategi itu melibatkan penggunaan komponen standard serta kerjasama rapat dengan pereka bentuk, amalan yang sudah lama dipraktikkan oleh pembekal China.

“Cabaran utama kami kini adalah bagaimana untuk menyesuaikan pendekatan ini ke dalam model sedia ada dan juga kenderaan baharu,” katanya.

Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha penjimatan lebih besar bernilai 500 bilion yen (RM15.2 bilion) menjelang Mac 2027, dengan separuh dijangka datang daripada pengurangan kos tetap dan selebihnya daripada kos berubah.

Nissan sebelum ini telah mengumumkan pengurangan 20,000 pekerjaan serta penyatuan tujuh kilang dalam usaha menstabilkan perniagaan automotifnya.

Dalam pada itu, laporan akhbar perniagaan Nikkei mendedahkan Nissan telah memotong lebih separuh pelan pengeluaran Leaf EV generasi baharu bagi tempoh September hingga November akibat masalah bekalan bateri.

Pengeluaran di kilang Tochigi, Jepun, yang membekalkan pasaran domestik dan Amerika Syarikat, dikatakan berkurangan sehingga beberapa ribu unit setiap bulan.

Nissan tidak mengulas lanjut mengenai laporan tersebut, namun menegaskan pelancaran model baharu Leaf tetap mengikut jadual hujung tahun ini.

Model itu dianggap penting untuk mengembalikan kedudukan Nissan dalam pasaran EV global, selepas beberapa siri cabaran termasuk isu pengeluaran SUV elektrik Ariya pada tahun 2023.

Google ads
Back to top button