Artikel PilihanBuletin

PRESIDEN TOYOTA TUBUHKAN KUMPULAN 7 SAMURAI – HADAPI PERSAINGAN & MASA DEPAN!

Aneh bukan? Dunia hari ini mempunyai lebih banyak populasi, moden, canggih dan begitu ramai orang kaya. Tetapi apa yang berlaku? Persaingan dalam dunia perniagaan semakin kompetitif dan jenama automotif pula banyak yang bertukar tangan.

Mujurlah di China semakin banyak jenama baharu dihasilkan dan negara ini dengan jumlah jualan kenderaan melebihi 20 juta unit setiap tahun mencorakkan perkembangan automotif dunia.

Di sana kecuali Kumpulan Volkswagen, persaingan adalah terbuka. Tahun ini sesebuah jenama boleh berada di tempat kedua atau ketiga, tahun depan belum tentu lagi.

Di peringkat dunia, Toyota menjual lebih banyak kenderaan berbanding mana-mana jenama dan sekali lagi kecuali Kumpulan VW. Toyota menguasai begitu banyak pasaran kenderaan di dunia namun tidak di China dan menariknya kalah dengan Honda dan Proton di negara kita.

Permainan akan berubah jika Perodua dianggap sekutu kepada Toyota Motor Corporation (TMC).

Satu perkara tentang Akio Toyoda iaitu Presiden TMC, beliau adalah seorang yang sensitif tentang persekitarannya. Beliau memahami denyut nadi pasaran dan satu perkara tentang Akio Toyoda ialah individu ini juga adalah pelumba kereta yang memerlukan kepekaan tinggi sewaktu beraksi.

Sejak berada di kerusi presiden telah banyak perubahan dalaman yang dilakukan dan ini boleh dilihat melalui produk berketerampilan tinggi seperti C-HR, Camry dan Corolla. Beliau juga pentingkan sukan permotoran sebagai DNA Toyota dan bukan sebagai aktiviti pemasaran dan penjenamaan sahaja.

Dengan sifat yang peka dan sensitif tersebut beliau sekali lagi mencorakkan masa depan TMC. Mengikut satu laporan di portal Automotive News, Akio Toyoda mahu hentikan konferens tidak berguna, singkirkan kertas-kertas kerja, teliti spesifikasi setiap kenderaan dan paling penting perhatikan apa yang kita (TMC) buat.

Apa yang Akio Toyoda mahukan sebenarnya ialah penjimatan kos walaupun TMC mencatatkan rekod keuntungan baik.

Menurut beliau lagi, masa yang baik sekarang ini tidak dapat bertahan sekiranya setiap sudut syarikat tidak membantu dalam menjimatkan wang dalam mengumpul dana untuk pelaburan masa depan.

Faktanya ialah pasaran di Amerika Syarikat sedang merasai haba perubahan persekitaran pasaran.

Suatu yang mengejutkan apabila Toyota Amerika Syarikat mengalami kerugian operasi sebanyak JPY 38.8 bilion dari Januari hingga Mac lalu. Jumlah tersebut sebenarnya sudah berkurangan daripada tahun sebelumnya iaitu sebanyak JPY 70.7 bilion.

Keuntungan tahun fiskal yang berakhir 31 Mac pula tidak berapa iaitu sebanyak 1.3 peratus sahaja. Toyota mahu meningkatkan jumlah tersebut kepada lapan peratus menjelang 2020 kata Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan, Koji Kobayashi.

Menurut artikel Automotive News, Toyota lambat dalam bertindak balas kepada citarasa pelanggan sama ada dari kereta hingga trak ringan.

Jualan borong (wholesale) kepada pengedar jatuh sebanyak 2.5 peratus kepada 675,000 kenderaan pada suku awal tahun ini dan Toyota terikat dengan insentif yang ditawarkan pesaing lain.

Di antara perubahan yang mahu dibuat ialah produk dan penjimatan kos. Selain itu, Akio Toyoda juga telah menubuhkan satu kumpulan pegawai dinamakan Tujuh Samurai. Nama tersebut sempena filem Akira Kurosawa yang berkisar tentang pahlawan masa silam di Jepun.

Berikut ahli kumpulan Tujuh Samurai TMC:

  • Akio Toyoda, Presiden
  • Koji Kobayashi, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan
  • Didier Leroy, Ketua Pegawai Kompetitif
  • Shigeki Terashi, Presiden Penyelidikan dan Pembangunan dan Kejuruteraan Termaju
  • Mitsuru Kawai, Naib Presiden Eksekutif untuk Pengawasan Kilang dan Ketua Pegawai Operasi untuk Keselamatan dan Kesihatan
  • Shigeki Tomoyama, Ketua Pegawai Operasi untuk Sistem Produksi Toyota (TPS) dan Pembangunan Bisnes dan Sistem Maklumat
  • Moritaka Yoshida, Ketua Pegawa Operasi untuk Kenderaan Saiz Sederhana dan TNGA

Berikut pula ialah rancangan TMC dalam menghadapi masa depan:

  • Margin ditingkatkan untuk melabur ke dalam teknologi masa depan seperti pemanduan autonomi, kenderaan terhubung, kereta elektrik dan bateri termaju
  • 35 peratus daripada bajet tahunan P&P sebanyak USD 10 bilion setahun akan diperuntukkan untuk teknologi masa depan
  • Sasaran untuk mengurangkan kos sebanyak JPY 130 bilion dalam tahun fiskal semasa berakhir 31 Mac 2019
  • Sistem TPS bukan dan kaizen bukan sahaja untuk kilang pengeluaran tetapi juga ke dalam bahagian pentadbiran dan pusat P&P
  • Tiada lagi mesyuarat yang tidak perlu dan kertas kerja berlebihan. Proses pentadbiran baharu akan digunakan sebagai panduan mesyuarat dijalankan. Dalam masa sejam keputusan dibuat dan pada waktu tengah hari ia terus dilaksanakan
  • Tiada spesifikasi kenderaan dipandang ringan, kesemuanya akan disemak dan dioptimumkan
  • Analisa kos juga akan ditukar, setiap kenderaan akan diteliti dengan lebih dekat

Dengan strategi baharu ini apa pendapat anda? Adakah ia bakal berkesan? Bagi kami dalam konteks tempatan, Toyota perlu beri lebih daripada apa yang pelanggan mahukan pada harga penuh dengan nilai.

Bagaimana Toyota Rush dipakejkan sudah betul cuma kami meragui harga Camry 2.5 baharu dan C-HR yang kelihatan tidak padan berbanding pesaing lain.

Sumber: Automotive News

BACA: TOYOTA SAH JUAL SUPRA DI AUSTRALIA, KITA?

BACA: PANDU UJI: TOYOTA C-HR – BELI SEBAB RUPA ATAU ADA PAKEJ YANG SEMPURNA?

Tags
Google ads
Back to top button