
PRESIDENTIAL RENAULT RAFALE ISTIMEWA UNTUK KEGUNAAN PRESIDEN PERANCIS
Kereta utama pemimpin negara seringkali menjadi tumpuan rakyat jelata. Ia bukan sahaja melambangkan status pemimpin utama, malah kereta yang digunakan juga mampu menaikkan sesuatu jenama itu sendiri. Dan ini ada sebuah model yang cukup istimewa, Presidential Renault Rafale yang direka khusus untuk kegunaan Presiden Perancis Emmanuel Macron.
Presidential Renault Rafale ini merupakan sebuah model eksklusif, direka khusus untuk Presidensi Perancis yang dibina berdasarkan model Renault Rafale Hyper Hybrid E-Tech 4×4 300 hp, yang juga merupakan sebuah model hibrid berkuasa dengan teknologi termaju.
Dibangun dan direka melalui pusat reka bentuk di Guyancourt model Rafale versi kegunaan Presiden ini telah menjalani beberapa kerja tingkat taraf supaya tampil lebih sesuai dengan taraf penggunanya seorang Presiden.

Rekaan gril kini menampilkan tema warna bendera Perancis dengan terdapat pemegang bendera yang boleh ditanggal dan juga lencana biru, putih dan merah di pintu hadapan
Penampilan luaran Presidential Renault Rafale dilayangkan dengan warna istimewa Bleu Présidence yang cukup eksklusif yang mana cat ini menggabungkan teknologi yang mengehadkan penyerapan haba kepada 10°C, sekali gus meningkatkan keselesaan suhu di dalam kereta. Cat ini juga menampilkan kesan kilauan biru, putih dan merah, boleh dilihat di bawah sinaran matahari.
Satu ciri menarik yang terdapat padanya adalah pintu belakang yang boleh ditutup lembut untuk operasi yang lancar dan juga senyap.

Jurutera Renault juga telah menitikberatkan aspek keselamatan dan keselesaan dengan memilih bahan komposit yang ringan dan kuat termasuklah casis yang telah ditala semula untuk pemanduan yang lebih lancar dan stabil. Sistem suspensi juga diberikan penekanan untuk mengimbangi berat perisai yang semesti telah dipasang pada kereta ini.
Melengkapkan penampilan luaran adalah rim Chicane bersaiz 20 inci serta penggunaan tayar Michelin untuk kegunaan semua cuaca.
Bahagian kabin sememangnya telah direka untuk dijelmakan sebagai ruang pejabat bergerak dengan rekaan yang lebih ergonomik untuk sang Presiden bekerja.
Terima kasih kepada kerjasama diantara Elysée Palace, Renault dan juga para karyawan daripada Perancis untuk menghasilkan kualiti kerja yang bukan kepalang termasuklah penggunaan marmar hitam Noir Grand Antique daripada Pyrenees.
Tempat duduk pula menggunakan upholsteri istimewa tetapi bertambah istimewa dengan beberapa kemasan seperti jahitan dengan tema warna negara Perancis serta terdapatnya ukiran laser lambang kebangsaan Perancis pada bahagian tempat letak kepala.
BACA : CITROEN SM PRESIDENTIAL – PERNAH MENJADI KERETA RASMI PRESIDEN PERANCIS SUATU KETIKA DAHULU



