
MAZDA RX-7 IKONIK HAN DALAM TOKYO DRIFT DIJUAL LEBIH RM5 JUTA
Sebuah jentera lagenda dari dunia filem kini bertukar tangan dengan harga yang menakjubkan.
Mazda RX-7 VeilSide milik watak Han dalam filem The Fast and the Furious: Tokyo Drift baru sahaja dijual pada harga AS$1.225 juta (sekitar RM5.77 juta) di acara Goodwood Festival of Speed.
Bagi peminat kereta JDM dan filem aksi jalanan era 2000-an, model FD RX-7 ini bukan sekadar sebuah kereta. Ia merupakan simbol budaya drift dan gaya modifikasi ekstrem yang melonjak popularitinya selepas kemunculan filem Tokyo Drift pada tahun 2006.

Ditampilkan dalam warna jingga-hitam yang ikonik serta dipasangkan kit badan VeilSide Fortune, kereta ini benar-benar mencuri tumpuan di skrin mahupun di dunia sebenar.
Menurut Bonhams yang mengendalikan jualan lelong, unit ini bukan replika atau kereta ‘stunt’ biasa. Ia dibina khusus oleh VeilSide atas permintaan Universal Studios dan dilengkapi kit badan menyeluruh, kecuali pada bumbung serta penutup bonet belakang.
Turut terpasang ialah rim Andrew Racing Evolution 5 bersaiz 19-inci dengan kemasan aluminium berkilau yang menaikkan lagi nilai estetika coupe berkuasa ini.

Setelah penampilan luaran diberi sentuhan VeilSide, jentera ini kemudian diserahkan kepada pakar talaan ternama Jepun, RE Amemiya, untuk kerja-kerja penyempurnaan enjin.
Antara komponen naik taraf termasuk sistem ekzos Blitz, klac baharu, brek lebih responsif dan sistem suspensi coilover.
Kuasa asal dari enjin rotary dikekalkan, secara rasmi sekitar 276hp, tetapi seperti yang diketahui peminat RX-7, angka itu sering kali lebih rendah dari prestasi sebenar.

Menariknya, kereta ini tidak pernah digunakan untuk aksi drift intensif di dalam filem. Sebaliknya, ia lebih banyak muncul dalam babak statik atau babak ‘glamor’ semata-mata.
Jadi, jangan bayangkan ia pernah ‘mengikis tayar’ di Shibuya Crossing (aksi ikonik itu dilakukan dengan kereta lain), manakala RX-7 ini hanya menjadi wajah cantik di hadapan kamera.
Kereta ini juga lengkap dengan sistem audio Alpine serba kuat, termasuk dua amplifier dan beberapa pembesar suara yang boleh dilihat melalui cermin belakang dua lapisnya.

Malah, ia dilengkapi skrin kecil di bahagian penumpang yang memberi sentuhan ‘gadget’ futuristik ala tahun 2006. Belum pasti apa fungsinya, tapi tak mustahil juga untuk cucuk konsol Xbox 360, seiring era asalnya.
Ketika dimodifikasi untuk filem, RX-7 ini sudah mencatat kira-kira 61,000 batu perjalanan, dan hanya sekitar 5,000 batu tambahan selepas itu.
Ia kemudian diimport ke UK dan kekal dalam simpanan sehingga kini. Memandangkan ia telah lama tersadai, pemilik baharu disarankan untuk menjalankan pemeriksaan menyeluruh sebelum menghidupkannya semula.
Daripada sekadar kereta dalam filem aksi, RX-7 Han ini kini bergelar koleksi bersejarah yang membuktikan betapa kuatnya pengaruh filem dan budaya automotif Jepun dalam dunia hiburan serta koleksi automotif global.
- BACA: PRESIDENTIAL RENAULT RAFALE ISTIMEWA UNTUK KEGUNAAN PRESIDEN PERANCIS
- BACA: HONDA TAK TOLAK KEMUNGKINAN CIVIC TYPE R VERSI ELEKTRIK – TAPI BERGANTUNG PADA PERMINTAAN PASARAN
- BACA: UJI PANDU EKSKLUSIF MG CYBERSTER: EV ROADSTER PERTAMA DUNIA KINI DI OLD KLANG ROAD, 19 – 20 JULAI
- BACA: CHERY MALAYSIA SUMBANG RM50,000 KEPADA KUMPULAN WANG AMANAH SUKAN NEGARA (KWASN)





