Buletin

PROSPEK PERNIAGAAN TAN CHONG MOTOR TIDAK MENENTU. CATAT KERUGIAN LATMI RM17.4 JUTA

Prospek perniagaan Tan Chong Motor Holdings Bhd (TCM) dilihat tidak menentu apabila pengedar jenama Nissan di Malaysia itu berdepan persaingan sengit pelbagai segmen dalam pasaran automotif.

Penganalisis Hong Leong Investment Bank (HLIB), Daniel Wong, berkata jumlah jualan TCM di Malaysia meningkat 28.7 peratus tahun ke tahun didorong oleh peningkatan pengeluaran dan penghantaran pada separuh pertama tahun kewangan 2022.

Namun, katanya pendapatan daripada perkhidmatan kewangannya menurun secara mengejut sebanyak 5.2 peratus berbanding setahun lalu.

“Sumbangan pendapatan sebelum faedah, cukai (EBIT) secara keseluruhan meningkat didorong oleh jumlah jualan kenderaan yang lebih tinggi.

“Kumpulan baru-baru ini telah melancarkan model ‘facelift’ Serena-S Hybrid pada awal Julai dan juga aksesori Tomei baharu untuk model Almera pada Ogos supaya kekal relevan dengan pasaran.

“Pada masa ini, inventori berada pada tahap rendah RM589 juta (bertahan sekitar tiga bulan) disebabkan kekurangan bekalan daripada prinsipal. Manakala tempahan baharu masih agak menggalakkan selepas tamatnya langkah pengecualian cukai jualan,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

TCM mencatatkan kerugian selepas cukai dan kepentingan minoriti (LATMI) teras yang mengecewakan iaitu RM17.4 juta pada separuh pertama 2022, terutamanya disebabkan margin yang lebih rendah dan perbelanjaan cukai yang lebih tinggi daripada jangkaan.

“Namun begitu, separuh pertama 2022 masih menunjukkan peningkatan berbanding setahun lalu, terutamanya didorong oleh jumlah jualan dan margin operasi Malaysia yang lebih tinggi.

“Manakala operasi Indochina masih agak mendatar berbanding setahun lalu sejajar dengan jumlah jualan yang tidak berubah.

Terdapat peruntukan litigasi sebanyak RM17.4 juta untuk operasi Kemboja pada separuh pertama 2022,” katanya.

Wong berkata, HLIB mengekalkan saranan ‘jual’ terhadap saham TCM dengan sasaran harga tidak berubah sebanyak 75 sen.

“Walaupun menjangkakan peningkatan pada 2022, kami masih agak bimbang dengan persekitaran pasaran domestik kompetitif yang berterusan serta pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding ringgit,” katanya. – Berita Harian

Google ads
Back to top button