Buletin

PROTON SERAH 15,880 UNIT KENDERAAN PADA OGOS. CATAT JUALAN TERBAIK SEJAK JULAI 2013

Pengeluar kereta nasional, PROTON meneruskan peningkatan jualannya pada Ogos apabila jumlah pengeluaran makin pulih. Dengan 15,880 unit yang diserahkan (domestik + eksport), syarikat mencapai jualan bulanan terbaiknya sejak Julai 2013.

Dalam lapan bulan pertama tahun ini, PROTON telah mencatatkan 87,481 unit berbanding dengan 62,637 unit pada tahun 2021, peningkatan sebanyak 39.7 peratus.

Dalam carta jualan automotif nasional, PROTON mengekalkan kedudukan kedua dan mencapai pegangan pasaran sekitar 23.7 peratus pada Ogos. Manakala pegangan pasaran tahunan (YTD) meningkat kepada 19.5 peratus. 

Jumlah Volum Industri (TIV) pada Ogos dianggarkan sebanyak 66,900 unit (36.7 peratus lebih tinggi berbanding Julai) memandangkan semua jenama automotif giat menyerahkan unit kepada pelanggan yang membuat tempahan semasa insentif SST berkuatkuasa.

Walaupun jenama kereta lain melancarkan model baharu untuk bersaing dalam segmen SUV, kedudukan PROTON di tangga teratas masih kukuh. Proton X50 mencapai penyerahan lebih 4,000 unit bagi bulan ketiga berturut-turut dengan 4,329 unit diserahkan pada bulan Ogos. 

Ini merupakan kali pertama SUV mencapai kejayaan sebegitu di Malaysia dan mencatatkan rekod industri dengan jualan 4,763 unit pada Julai. Proton X70 menyokong prestasi tersebut dengan 1,555 unit, mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju jualan untuk SUV segmen C. Ia turut melonjakkan jumlah jualan SUV PROTON pada Ogos kepada 5,884 unit. 

Jumlah jualan SUV PROTON kini berjumlah 37,489 unit untuk 8 bulan pertama tahun 2022. Proton Saga mendapat manfaat daripada bekalan komponen yang bertambah baik, membolehkan 6,156 unit diserahkan pada bulan lepas.

Pencapaian itu meletakkannya sebagai model ketiga paling popular di Malaysia bagi Ogos dan seterusnya mendorong pendaftaran untuk model baharu 2022 kepada 14,154 unit selepas ia dilancarkan pada 12 Mei lalu.

Penerima manfaat terbesar daripada peningkatan jumlah pengeluaran ialah Proton Persona dan Proton Iriz. Proton Persona mencatatkan penyerahan 2,612 unit, prestasi terbaiknya sejak Februari 2020. Manakala Proton Iriz mengakhiri bulan Ogos dengan prestasi terbaik sejak April 2021 selepas mencapai 962 unit. Kedua-duanya menduduki tempat kedua dan keempat dalam kategori masing-masing. 

Proton Exora 2023 yang dilancarkan baru-baru ini mengekalkan kedudukannya dalam pasaran MPV segmen C dengan 266 unit diserahkan.

Google ads
Back to top button