Buletin

NISSAN SKYLINE R32 GUNA LIVERI PDRM KENA ANGKUT. PEMILIK DITAHAN POLIS

Tindakan seorang lelaki yang mengubah suai sebuah Nissan GT-R dengan corak dan warna menyerupai kereta peronda rasmi (MPV) polis membawa padah apabila dia ditahan pihak berkuasa. 

Lelaki berumur 43 tahun yang berniaga aksesori kenderaan ditahan pada jam 10.30 malam selepas kereta terbabit viral di TikTok selepas menyertai pameran kereta Art of Speed 2022 yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), Serdang.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusoff mengesahkan satu siasatan telah dijalankan berkaitan insiden itu selepas mengesan kereta berkenaan.

Bertindak atas maklumat mengenai kenderaan yang tular di media sosial pada Sabtu sekitar pukul 10.30 malam, sepasukan bahagian Siasatan Jenayah Sepang telah membuat pemerhatian dan menangkap suspek tempatan yang merupakan pemilik kepada kereta itu.

Penahanan dilakukan oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Sepang selepas melakukan pemerhatian di pusat pameran itu dan merampas kereta jenis Nissan Skyline R32 yang mempunyai lambang dan corak menyerupai kenderaan polis.

Turut dirampas kunci kereta berkenaan dan sekeping slip penyertaan pameran itu daripada suspek. Kenderaan terbabit mempunyai cukai jalan lengkap dan digunakan oleh pemiliknya.

“Pemilik kenderaan telah dibebaskan pada 12 tengah malam dengan jaminan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 89 Akta Polis 1967 kerana memiliki barangan yang dibekalkan kepada pihak polis untuk melaksanakan tugas,” katanya dalam kenyataan hari ini. – Harian Metro

Google ads
Back to top button