Buletin

ARIEL HIPERCAR – EV 1185 HP DENGAN PENAMBAH JARAK TURBIN GAS

Pengeluar kereta sports Britain Ariel kini tampil dengan sebuah model hypercar baharu dengan penampilan yang ekstrem, Ariel Hipercar atau nama panjangnya High-Performance Carbon Reduction.

Ia merupakan model coupe pertama Ariel yang akan mula dijual kira-kira 18 bulan dari sekarang.

Biarpun wujud dalam versi prototaip, Ariel Hipercar secara asasnya merupakan sebuah kenderaan elektrik dengan kuasa yang menggila – empat motor elektrik berkuasa 1,185 hp yang membolehkannya memecut sepantas 2.09 saat dari 0-100 km/j, atau 4.4 saat dari 0-161 km/j!

Kuasa diperoleh daripada pek bateri Cosworth berkapasiti 62 kWh yang membenarkan jarak gerak sejauh 241 km dicapai mengikut data WLTP.

Terlalu dekat? Usah risau kerana Ariel bakal menawarkan opsyen penambah jarak turbin gas Cosworth yang mampu menjana 47 hp yang lebih kecil berbanding enjin konvensional, dan boleh menerima suapan bahan api hidrogen.

Hipercar ini menggunakan casis monocoque aluminium dengan panel yang diperbuat daripada bahan ringan gentian karbon, di mana panel yang nampak ganas itu telah direka untuk mencapai tahap kecekapan seretan dan penyejukan yang diperlukan.

Skup udara pada bumbung pula akan mengalirkan udara terus kepada unit turbin gas itu tadi.

Dengan kehadiran empat motor elektrik, Hipercar mempunyai berat sekitar 1,500 kg sahaja, atau 1,400 kg untuk versi dua motor elektrik.

Sistem suspensi pula adalah jenis double-wishbone untuk keempat-empat sudut dengan unit peredam daripada Bilstein, sementara sistem brek AP Racing digunakan dengan angkup enam omboh di depan dan empat omboh di belakang.

Sistem brek itu boleh disesuaikan tahap brek regeneratif, kawalan cengkaman dan juga torque vectoring.

Produksi Ariel Hipercar ini akan bertempat di Somerset, England sementara harga jualan pula – biarpun belum didedahkan secara rasmi – dijangka bermula di bawah £1 juta (RM5.19 juta).

Google ads
Back to top button