
PROTON BANGUNKAN KILANG EV BERNILAI RM82 JUTA, SIAP AKHIR 2025
Proton sedang giat membangunkan kilang pemasangan kenderaan elektrik (EV) di Tanjung Malim, dengan pelaburan sebanyak RM82 juta.
Fasa pertama kilang ini dijangka siap menjelang akhir 2025 dan mampu menghasilkan sekitar 20,000 unit EV setiap tahun.
Kilang ini akan memasang pelbagai model kenderaan tenaga baharu (NEV) untuk pasaran domestik dan eksport, bermula dengan model Proton e.MAS7 yang berasaskan platform Global Modular Architecture (GMA).
Untuk memastikan kilang ini bersedia bagi pengeluaran NEV, Proton akan mengaplikasikan teknologi pembuatan pintar seperti robotik, pengurusan kilang berasaskan awan, Internet of Things (IoT), dan teknologi berkaitan Revolusi Industri 4.0.

Selain itu, pembinaan kilang ini dijangka mewujudkan lebih 200 peluang pekerjaan baharu untuk komuniti setempat.
Proton juga merancang fasa kedua pembangunan kilang ini untuk memenuhi permintaan EV yang semakin meningkat di dalam dan luar negara, dengan sasaran meningkatkan kapasiti pengeluaran kepada 45,000 unit setahun.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr. Li Chunrong, langkah ini menandakan peralihan Proton menjadi pengeluar peralatan tulen (OEM) yang menawarkan model enjin pembakaran dalaman (ICE) dan EV.
Beliau menyatakan bahawa kenderaan yang dihasilkan di kilang baharu ini akan memenuhi keperluan pelanggan tempatan dan antarabangsa, serta memacu pertumbuhan pasaran EV.
Tambahnya lagi, beliau berharap kejayaan ini akan mewujudkan ekosistem automotif moden yang mampu menarik lebih banyak OEM untuk mempertimbangkan Malaysia dan Tanjung Malim sebagai pangkalan serantau bagi EV.
- BACA: PERODUA FOKUS TINGKAT KEUPAYAAN KILANG DAN R&D, PERUNTUK RM1.6 BILION
- BACA: PERODUA CATAT ENAM REKOD BAHARU TAHUN 2024, KUASAI 43.8% PASARAN MALAYSIA
- BACA: ROYAL ENFIELD SHOTGUN 650 X ICON DIPERKENAL – HANYA 5 UNIT UNTUK PASARAN MALAYSIA, RM38.5K
- BACA: LEAPMOTOR CATAT SEJARAH, ANTARA SYARIKAT PEMULA NEV TERBAIK