
PERODUA FOKUS TINGKAT KEUPAYAAN KILANG DAN R&D, PERUNTUK RM1.6 BILION
Perodua kini mempercepatkan keupayaan tenaga kerjanya untuk mencapai kebergantungan kendiri yang lebih besar, tetapi ini akan menyebabkan pengurangan dalam pengeluaran dan jualan tahun ini.
“Untuk 2025, kami menjangkakan jumlah pengeluaran menurun sebanyak 4.9 peratus kepada 350,000 unit berbanding 368,100 unit yang dihasilkan pada 2024,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.
“Pengurangan ini akan menyebabkan pendaftaran kenderaan menurun sebanyak 3.7 peratus kepada 345,000 unit berbanding 358,102 unit tahun lalu,” tambahnya.
“Walaupun kami merancang untuk memperlahankan pengeluaran dan jualan, permintaan terhadap kenderaan kami kekal kukuh dengan jumlah tempahan tertunggak sebanyak 68,000 unit, di mana 28,000 tempahan telah dikeluarkan surat jaminan tanpa stok,” kata Dato’ Sri Zainal.

Beliau menegaskan bahawa Perodua akan terus mengutamakan penghantaran kenderaan kepada pelanggan sambil mengekalkan standard kualiti dan keselamatan syarikat.
Perodua mengumumkan peningkatan perbelanjaan modal (CAPEX) kepada RM1.6 bilion tahun ini, lebih dua kali ganda berbanding RM797.5 juta pada 2024.
Sebahagian besar pelaburan ini akan digunakan untuk penambahbaikan kilang, peningkatan kapasiti pengetukan (stamping), pembangunan model baharu dan peralatan (tooling).
Jelas beliau lagi, pelaburan ini akan mengukuhkan kapasiti pembuatan termasuk vendor, meningkatkan kualiti perkhidmatan serta produktiviti, dan memperkukuh perancangan produk serta keupayaan pembangunan model baharu.
“Pada 2024, kami telah melepasi keupayaan pengeluaran sedia ada dengan menghasilkan 368,100 unit kenderaan, melebihi kapasiti 320,000 unit bagi kedua-dua kilang kami.

“Pencapaian ini dicapai dengan mengurangkan masa henti, mematuhi jadual penyelenggaraan, perancangan dinamik serta penyelarasan yang baik antara vendor dan pengedar,” katanya.
Dalam sektor selepas jualan, Perodua menjangkakan peningkatan jumlah pengambilan servis kepada 3.7 juta kenderaan pada tahun ini, meningkat 7.6 peratus daripada 3.4 juta pada 2024.
Perodua juga terus menyokong ekosistem automotif tempatan dengan anggaran pembelian komponen tempatan bernilai RM10.8 bilion daripada vendor Malaysia.
Selain itu, syarikat bekerjasama dengan kerajaan untuk meningkatkan daya saing vendor dan pengedar melalui penerokaan potensi Industri 4.0, latihan serta bantuan lain untuk pertumbuhan mampan.
“Tahun 2025 akan menjadi tempoh yang menarik bagi kami ketika kami bersedia menghadapi perubahan mendatang,” katanya.
“Kami percaya bahawa apabila perubahan ini selesai, kami akan dapat mengukuhkan lagi kedudukan kami di Malaysia dan rantau ini.”
- BACA: PERODUA CATAT ENAM REKOD BAHARU TAHUN 2024, KUASAI 43.8% PASARAN MALAYSIA
- BACA: ROYAL ENFIELD SHOTGUN 650 X ICON DIPERKENAL – HANYA 5 UNIT UNTUK PASARAN MALAYSIA, RM38.5K
- BACA: LEAPMOTOR CATAT SEJARAH, ANTARA SYARIKAT PEMULA NEV TERBAIK
- BACA: PERODUA KINI JENAMA AUTOMOTIF TERBAIK DI ASEAN, ATASI TOYOTA DAN BMW