Buletin

PROTON PERSONA – SEJARAH PENTING DARI DNA WIRA KEPADA MODEL GLOBAL

Sempena dengan pelancaran Proton Persona baru esok, kami rasa ada beberapa perkara yang boleh diimbau bersama tentang produk penting Proton ini. Ya. Ia sangat penting, kerana di sinilah Proton bermula, di sinilah Proton melahirkan model gantian Proton Wira yang cukup ikonik dalam pasaran tempatan.

Model pertama Persona boleh dirujuk pada pelancarannya pada 2007. Tapi sebelum kelahiran Persona, 3 tahun sebelumnya, casis kereta ini telah dibangunkan menerusi model GEN2. Kalau mengikut susur sejarah, Gen2 adalah model lebih penting berbanding Persona kerana ia model garis permulaan bagi Proton berdiri dia atas kaki sendiri selepas meninggalkan rakan strategik mereka Mitsubishi.

PROTON TINGKATKAN PRODUKSI PERSONA

Selepas koloborasi Mitsubishi menerusi model Waja, enjin 4G18P dan 1.8X Renault berakhir, Proton sudah bersedia untuk melahirkan konsep mereka sendiri. Sudah tentu, model yang dikenali sebagai WRM (Wira Replacement Model) merupakan yang paling sensasi dan bakal menentukan apa yang berlaku terhadap masa depan Proton.

Pada 2004, Proton Gen2 diperkenalkan kepada umum dan itu adalah “bahasa” Proton pertama dalam industri. Jujur cakap, ia sebuah liftback yang cantik, dilengkapi dengan asas yang mungkin tiada pada segmen kelasnya. Suspensi multilink dan brek cakera belakang. Cuma enjin CAMPRO S4PH yang pertama itu agak lemau rasanya.

PROTON TINGKATKAN PRODUKSI PERSONA

Apabila Persona diperkenalkan sebagai “saudara” sedannya dengan Campro yang dipertingkatkan dengan modul IAFM, Persona terus menjadi gantian Wira yang diberhentikan pengeluarannya secara total. Sebenarnya, pemilihan nama “Persona” itu sendiri agak mengelirukan pada mulanya kerana Proton memang pernah menggunakan nama Persona untuk model Wira sedan yang dieksport ke UK sebelum ini.

Ia menjadi model teras Proton dalam segmen C untuk beberapa tahun berikutnya sehinggalah Preve diperkenalkan pada 2012. Secara tak langsung Proton ada 2 model dalam segmen C, satu Preve yang premium dan satu lagi Persona dengan pelbagai varian yang lebih murah. Jika anda bandingkan beberapa kereta dalam kategorimya Persona masih menang dari banyak aspek.

proton-persona-exec-mekanika

Tahun demi tahun Proton bergelut dengan penguasaan pasaran yang semakin menurun. Secara tenikalnya, Proton mempunyai model bagi setiap kategori. Saga, Persona, Neo, Preve dan Exora yang sepatutnya mampu mengekalkan profil pembeli mereka. Ketika krisis kualiti, aspek lepas jualan dan pelbagai isu lain cuba dipertingkatkan, Proton terpaksa berhadapan dengan saingan dari jenama import yang mula mencurah masuk. Mahu atau tidak, Proton terpaksa berdepan dengan saingan dari konglomerat yang mempunyai dana yang besar, model yang pelbagai dan sistem pinjaman yang sangat fleksibel.

Proton terpaksa menukar strateginya. Bermula daripada Iriz, Proton sedar yang mereka perlu fokus pada kereta-kereta mampu milik. Namun mereka bergelut dengan dilema mengekalkan profil kereta dan merebut pasaran. Sama seperti Lotus, membuat kereta sports kecil yang ringan tapi dalam masa yang sama perlu bersaing dengan model-model mainstream seperti Porsche yang mempunyai kelebihan di bawah payung kumpulan Volkswagen.

proton persona (6)

Persona model baru ini akan dikelaskan semula dalam segmen B supaya rangkaian produk mereka dapat disusun semula mengikut profil pembeli. Proton akan melancarkan Persona baru esok dan kami telah memandu ujinya terlebih dahulu dalam satu sesi tertutup sebelum ini. Ia adalah sebuah sedan dalam segmen B terbaik yang boleh dibeli pada harga bermula RM47,000. Walaupun menggunakan platform Iriz, suspensi torsion beam dan tanpa brek cakera belakang, kereta ini telah ditala sangat cermat. Saya percaya pasukan jurutera pengendaliannya telah didera teruk oleh pengurusan untuk menghasilkan sebuah kereta Proton dengan DNA sebuah Proton.

Kepada anda yang akan melihat model ini di pusat pameran esok, saya cadangkan cuba pandu uji terlebih dahulu. Fakta pertamanya, jangan percaya apa yang kami tulis 100 peratus. Anda perlu pandu sendiri dan bandingkan dengan kereta lain yang sama dengan kelasnya. Cuba rasa tindakbalas roda sterengnya, bump dan rebounce suspensi, membelok masuk dan keluar selekoh dan mungkin anda dapat rasa apa yang istimewa tentangnya. Kalau masih tak berapa jelas, boleh tonton videonya di sini.

 

Kita jumpa lagi esok!

Google ads
Back to top button