
PUSPAKOM JAMIN SYARAT NOMBOR PENGENALAN CUKAI TAKKAN SEBABKAN KELEWATAN
PUSPAKOM hari ini dalam satu kenyataan menjawab kepada pertanyaan terkini dan memberikan penjelasan mengenai perubahan yang akan datang, PUSPAKOM ingin menjelaskan proses pelaksanaan e-invoicing serta pelaksanaan Nombor Pengenalan Cukai (TIN).
Bermula 1 Ogos 2024, e-invoicing akan menjadi keperluan nasional yang diwajibkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN).
Menurutnya, keperluan ini bertujuan untuk memperkemaskan proses pematuhan cukai di seluruh negara.
“Bertentangan dengan kekeliruan yang timbul baru-baru ini, adalah penting untuk diperhatikan bahawa e-invoicing bukanlah dasar dilaksanakan oleh PUSPAKOM sahaja, tetapi merupakan inisiatif seluruh negara yang diwajibkan oleh LHDN,” memetik kenyataan PUSPAKOM.
Sebagai sebahagian daripada komitmennya untuk membantu pelanggan dengan peralihan ini, PUSPAKOM secara proaktif melaksanakan keperluan TIN bermula 25 Julai 2024.

Pelaksanaan awal ini bertujuan memudahkan peralihan lancar untuk pelanggan dan memastikan pematuhan sebelum tarikh akhir rasmi.
“Kami memahami kepentingan pematuhan dengan peraturan nasional, dan kami komited untuk menyokong pelanggan kami sepanjang proses ini.
“Pelaksanaan awal di PUSPAKOM akan membolehkan kami mengatasi sebarang masalah yang mungkin timbul,” kata Mahmood Razak Bahman, Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM.
Mahmood memberi jaminan kepada pelanggan bahawa pelaksanaan e-invoicing dan TIN tidak akan menyebabkan kelewatan atau barisan yang lebih panjang di pusat pemeriksaan PUSPAKOM.
“Proses pengumpulan TIN diintegrasikan secara lancar ke dalam peringkat tempahan dalam talian melalui laman web MyPUSPAKOM, bukannya semasa pemeriksaan itu sendiri. Pelanggan hanya perlu mengemas kini butiran TIN mereka di MyPUSPAKOM sekali sahaja, dan tempahan masa depan akan berjalan seperti biasa,” tambah Mahmood.
NOMBOR KAD PENGENALAN CUKUP UNTUK PELANGGAN INDIVIDU
Mahmood menjelaskan lagi bahawa pelanggan individu atau persendirian tidak perlu mempunyai TIN untuk membuat tempahan pemeriksaan dengan PUSPAKOM.
“Nombor Kad Pengenalan mereka sudah mencukupi untuk tujuan tempahan,” jelasnya.
“Untuk lebih jelas, bagi individu, TIN mereka sebenarnya adalah sama dengan nombor fail cukai individu mereka. Begitu juga, bagi syarikat, TIN mereka adalah setara dengan nombor fail cukai syarikat yang biasanya digunakan untuk tujuan pemfailan cukai,” tambah Mahmood.
Individu yang bukan pembayar cukai bagaimanapun masih boleh menggunakan nombor Kad Pengenalan mereka untuk membuat tempahan.
Proses untuk mendapatkan TIN bagi mereka yang memerlukannya boleh diselesaikan secara dalam talian di www.mytax.hasil.gov.my.
Ini termasuk warga asing serta individu yang belum berdaftar sebagai pembayar cukai.
- BACA: ULTRA PERFORMANCE HIBRYD UNTUK BENTLEY FLYING SPUR BERIKUTNYA
- BACA: BMW M5 G90 DENGAN KIT M PERFORMANCE, SEGAK BERGAYA APATAH LAGI WARNA KUNING
- BACA: GEELY RANCANG MALAYSIA JADI PASARAN KERETA BERASASKAN BAHAN BAKAR METANOL
- BACA: KENDERAAN ELEKTRIK: PENGELUAR KERETA JEPUN CUAK DENGAN PERKEMBANGAN CHINA