
PAGANI HUAYRA EPITOME, PERTAMA DENGAN KOTAK GEAR MANUAL!
Walaupun penawaran dan permintaan kotak gear manual semakin berkurangan di sesebuah negara, pengguna tidak putus peluang sekiranya memiliki sejumlah wang.
Tempah sahaja dari jenama kereta eksotik seperti yang diterjemahkan pada Pagani Huayra Epitome.
Projek ini adalah hasil kerja bahagian tempahan khas Pagani iaitu Grandi Complicazioni dan dibuat sebuah sahaja mengikut permintaan pelanggan.
Bukan calang-calang, pelanggan tersebut tahu apa yang dimahukan iaitu sebuah Huayra unik dan pada tahap tinggi dan dari situ datangnya nama Epitome.
Masa yang diambil pula bukan sedikit, proses mendengar dan berkongsi idea memakan masa sembilan bulan sebelum beralih kepada pengkonsepan akhir.
Kerja-kerja reka bentuk yang melibatkan pelbagai kakitangan pula memakan masa sepuluh bulan.
Menggerakkan Huayra Epitome ialah enjin V12 Pagani yang menghambur 864 kuasa kuda (hp) pada 6,000 rpm (suhu 18°C) dengan daya kilas 1,100Nm.
Enjin 5,980 cc turbo berkembar dibina oleh AMG mengikut spesifikasi Pagani dan dilengkapi sistem pembahagian ligatan boleh dilanjutkan kepada 6,700 rpm. Kelajuan dihadkan kepada 350 kilometer sejam.
Menjadikan Huayra Epitome model unggul ialah kotak gear manual tujuh kelajuan dari Xtrac dan Pagani pertama seumpamanya.
Turut dilengkapi pembeza kawalan elektronik dan Epitome menggunakan aci pacu tiga pod ala kereta lumba.
Cekam roda tenaga (flywheel clutch) terdiri daripada cekam cakera bertiga yang terkini untuk penghantara daya kilas lebih baik.
Pagani turut menumpukan pada ampaian dengan geometri yang mengurangkan junaman, anggul (pitch) dan olengan.
Satu lagi yang menarik ialah sistem ampaian aktif baharu Huayar Epitome mempunyai butang super soft di dalam kereta dan boleh dihidupkan semasa melalui jalan kasar dan untuk lebih selesa.
Pada kelajuan di atas 150 kilometer sejam (km/j) tetapan penyerap hentak kembali kepada biasa dan bergantung kepada mod pemanduan yang dipilih.
Ekzos ringan yang dibuat dari titanium menghasilkan simfoni bunyi pada setiap pecutan dan lebih mengasyikkan apabila pemandu menekan butang khas pada terowong tengah di dalam kereta.
Rim tempa aluminium aloi dipengarui oleh Pagani Imola Coupé yang dimiliki pelanggan. Rim dipadan bersama tayar Pirelli P Zero™ Trofeo R.
Dari segi rekaan, Huayra Epitome menggunakan bampar depan dan belakang dengan bentuk baharu selain gugusan lampu yang berbeza.
Bampar depan mempunyai pemisah bersepadu yang direka mengikut permintaan pelanggan bagi meningkatkan daya mendap dan menyeimbangkan kereta dalam semua keadaan pemanduan.
Bahagian itu juga mempercepatkan aliran udara ke saluran radiator dalam.
Bukaan yang lebih lebar membolehkan lebih banyak aliran udara masuk ke saluran dalam dengan mengoptimumkan aerodinamik dan meningkatkan kecekapan radiator depan.
Huayra Epitome satu-satunya model khusus Pagani dengan empat buah lampu dipasang pada tukup depan dan dua lampu nyalaan siang pada bampar.
Dapra turut berbeza dengan sistem pengeluaran udara baharu dan bahagian belakang diserlahkan spoiler yang anggun dan cantik.
Belakang kereta direka semula mengikut permintaan pelanggan yang mahukan spoiler digabung terus bersama tukup.
Pelindung lampu belakang turut memainkan peranan aerodinamik dan direka bagi mengurangkan rintangan angin. Lenggok pelindung dan spoiler menambah lagi keanggunan kereta ini.
Bahagian dalam pula usah cerita, ibarat kedai barang kemas kelas atasan atau muzium dengan arca seni.














