Buletin

RAINFOREST CHALLENGE KEMBALI BUAT TAHUN KE-26, LEBIH MENCABAR DAN IKONIK

Bermula sebagai acara kecil-kecilan pada tahun 1997, Rainforest Challenge kini kembali bagi buat tahun ke-26.

Ditunjangi oleh seorang rakyat Malaysia, Luis Wee, Rainforest Challenge atau RFC merupakan sebuah perlumbaan off road paling ekstrem di dunia.

Menurut Škoda Motorsport, RFC kini berada di tempat ketiga di belakang Baja 1,000 dan Dakar Rally dalam senarai Five Toughest Off-road Races in the World.

Melihat semula pada sejarah, segalanya bermula pada tahun 1996 apabila Luis mengambil inspirasi daripada kejohanan Camel Trophy di mana ia mengumpulkan pelumba 4×4 dari seluruh dunia ke satu tempat.

Edisi pertama RFC dimulakan di peringkat Asean terlebih dahulu di mana hanya ada beberapa peserta sahaja yang mengambil bahagian dari 6 negara.

Namun hari ini, acara ini mempunyai peminat tegarnya sendiri di lebih 60 negara, meliputi enam benua di seluruh dunia, dan bilangan itu kian bertambah.

Menurut Luis, edisi pertama tersebut merupakan antara paling istimewa, paling dekat di hati dan tak mungkin dapat dilupakan.

“Saya masih ingat lagi tarikh pelancaran iaitu pada 23 November 1997. Rainforest Challenge dirasmikan buat kali pertama di medan ikonik, Dataran Merdeka oleh pemimpin terhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim, merupakan Timbalan Perdana Menteri pada waktu itu.

“Anwar mengambil inisiatif untuk mengikuti kami ke Taman Komanwel untuk sesi Prologue atau peringkat pertama dalam perlumbaan.

“Beliau menyahut cabaran dengan menggunakan sebuah 4×4 Ford Explorer dan berjaya melepasi halangan pertama tersebut tanpa sebarang masalah,” cerita Luis.

Tambahnya lagi, tahun 2007 merupakan antara yang terburuk dalam sejarah perlumbaan. Ulang tahun ke-10 Rainforest Challenge menyaksikan lebih kurang 200 peserta terdampar di dalam hutan tebal akibat angin monsun serta banjir kilat.

Sebahagian besar lokasi perlumbaan ditenggelami air dan lumpur, menyebabkan ramai peserta tersangkut serta tidak boleh bergerak ke mana-mana.

Mereka akhirnya diselamatkan dan dibawa keluar oleh bot setelah berjam-jam terdampar di dalam kegelapan hutan. Kejadian dilabel “legenda” oleh Luis ini menjadi titik tolak mengapa Rainforest Challenge tersenarai dalam top 5 perlumbaan off-road paling ekstrem di dunia.

Sesuai perkembangannya, RFC kemudian melebarkan sayap ke peringkat global pada tahun 2013 dengan melancarkan RFC Global Series, sekali gus melakar kejayaan baru.

Perjalanan Rainforest Challenge selama 25 tahun merupakan sesuatu luar biasa buat Luis. Dia tidak pernah menyangka idea kecilnya pada tahun 1996 dahulu boleh memberi impak kepada komuniti 4×4 di seluruh dunia.

“Bukan sahaja pasukan-pasukan antarabangsa datang bertanding di Malaysia, mereka juga menganjurkan perlumbaan ini di negara mereka sendiri seperti di Itali, China, India, Australia, Rusia, dan banyak lagi. Kami mengeksport jenama Rainforest Challenge of Malaysia ke seluruh pelosok dunia sehingga ke Amerika Selatan,” ujar Luis dengan penuh bangga.

“Saya sangat bersyukur kerana Rainforest Challenge kini sudah memasuki tahun ke-26. Semasa pelancaran pada tahun 1997 dulu, saya langsung tak terfikir bahawa kita mampu berada di mana kita berada sekarang,” ujar Luis.

Kini, RFC hanya mensasarkan satu matlamat iaitu menjadi perlumbaan off-road nombor satu paling ekstrem di dunia.

Jadi, untuk tahun ke-26 ini, adakah kita akan dapat menyaksikan Perdana Menteri merasmikan RFC?

Berbekalkan semangat Madani untuk membawa Malaysia ke tahap lebih tinggi, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan sosok paling tepat untuk merasmikan edisi kali ini sepertimana yang dilakukan beliau pada tahun 1997.

Google ads
Back to top button