RANGE ROVER L460 KINI DI MALAYSIA. 4.4 V8 TURB0, 530PS/750NM, RM2.488 JUTA SEUNIT
Hasil evolusi selama lebih 50 tahun, Jaguar Land Rover Malaysia hari ini melancarkan Range Rover L460 serba baharu,yang bakal mempelopori segmen kenderaan utiliti sport (SUV) menerusi ciri-ciri serba moden yang mengagumkan.
Range Rover generasi kelima itu menggabungkan kecanggihan teknologi dengan kemewahan moden yang tiada tandingan. Ini merupakan model pertama yang menggunakan Seni Bina Longitud Modular Fleksibel (MLA-Flex) Land Rover baharu.
SUV mewah tersebut menzahirkan falsafah reka bentuk moden Land Rover ke peringkat yang lebih tinggi dengan pentafsiran kontemporari profilnya yang terkenal untuk menghasilkan reka bentuk yang nyata luar biasa.
Range Rover 2023 menampilkan perkadaran reka bentuk yang seimbang, permukaan reduktif dan garis bentuk jitu. Ia turut disokong oleh teknologi reka bentuk canggih untuk memberikannya penampilan yang mantap.
Model yang dikenali sebagai P530 itu dikuasakan oleh oleh enjin V8 4.4 liter turbo berkembar . Ia mampu menjana kuasa mencecah 530PS dan tork 750Nm pada 1,800 hingga 4,600rpm. Enjin itu kemudian dipadankan dengan kotak gear automatik lapan kelajuan.
Reka bentuk unik SUV mewah itu diserlahkan dengan garis badan yang memberi penampilan menarik. Keharmonian reka bentuk Range Rover baharu mencetus keseimbangan dari segi berat, kekuatan dan ketegaran, dengan ciri-ciri aerodinamik lebih baik model ini memaksimumkan kecekapan.
Salah satu ciri yang pertama kali diperkenalkan di dunia ialah lampu belakang tersembunyi sehingga dihidupkan. Rekaan garis bumbung 10mm lebih rendah tidak menjejaskan ruang dalaman. Hendal pintu jenis tertanam dan kemasan rata sepenuhnya mengurangkan gangguan kepada aliran angin.
Menyediakan ruang dalaman yang cukup lapang untuk lima tempat duduk, model terbaharu ini 75mm lebih panjang berbanding model terdahulu dan seni bina badan MLA-Flex adalah 50 peratus lebih tegar.
Penambahbaikan kejuruteraan menghasilkan pengurangan 24 peratus dalam transmisi bunyi. Menggabungkan teknik kejuruteraan terkini dengan 260,000 ujian maya dan ujian prototaip sejauh 1.2 juta km, Range Rover baharu terbukti lebih hebat dan senyap.
Model baharu itu dilengkapi sistem infohiburan Pivi Pro yang dilengkapi skrin sentuh kaca terapung melengkung 13.1-inci dengan ciri maklum balas haptik. Ia disokong oleh skrin pemandu interaktif 13.7 inci baharu. Ia merupakan versi Pivi Pro yang ditambah baik dengan grafik definisi tinggi dan susun atur yang lebih mesra pengguna.
Bagi memastikan proses memandu dan meletak kereta yang lancar, ciri ClearSight Ground View disertakan dengan Kamera Keliling 3D, membolehkan pemandu melihat ‘menembusi’ bonet. Manakala lampu kendali menerangi permukaan pada kelajuan rendah untuk membantu pemandu memandu dengan selamat ke dalam ruang yang sempit.
Teknologi penghapusan bunyi bising aktif generasi ketiga menjanjikan salah satu kabin paling senyap di jalan raya.
Ciri ini memantapkan lagi seni bina badan yang senyap dan kedap dengan menggunakan meter pecut dan mikrofon di luar kenderaan untuk mencipta zon senyap bagi setiap penumpang.
Ciri-ciri keselamatan serba canggih turut disediakan. Ini termasuklah Suspensi Udara Elektronik generasi akan datang untuk mengurangkan ketinggian pemanduan apabila bergerak pada kelajuan lebih 105km/j bagi meningkatkan kecekapan dan mempersiapkan kenderaan untuk mengambil selekoh dengan mudah, serta ciri-ciri aerodinamik pintar seperti pendinginan brek aktif.
Satu kelebihan tambahan ialah Stereng Semua Roda Standard yang lebih stabil pada kelajuan tinggi dan jarak pusingan lebih kecil tidak sampai 11m, menjadikan kenderaan ini sangat mudah dikendalikan.
Tempahan untuk Range Rover L460 telah dibuka dan boleh anda miliki pada harga sekitar RM2.488 juta seunit (termasuk cukai). Sila layari https://www.landrover.com.my/ untuk maklumat lanjut.
- BACA: SUV MEWAH RANGE ROVER GENERASI BAHARU DILANCARKAN. GUNA PLATFORM MLA-FLEX
- BACA: RANGE ROVER SPORT SVR ULTIMATE V8, INI BARU PUAS HATI!
- BACA: FAKTA PENJAGAAN RANGE ROVER SPORT SVR. SUV SUPERCAR JAMES BOND
- BACA: SERGIO AGUERO HADIAHKAN RANGE ROVER EVOQUE, JAM TANGAN MEWAH KEPADA STAF MAN CITY
GALERI