Buletin

SUV MEWAH RANGE ROVER GENERASI BAHARU DILANCARKAN. GUNA PLATFORM MLA-FLEX

Land Rover melancarkan kenderaan utiliti sukan (SUV) mewah generasi kelima Range Rover 2022 di Royal Opera House, London, United Kingdom (UK).

Generasi baharu itu menampilkan falsafah reka bentuk moden Land Rover yang telah diperhalusi tetapi masih mengekalkan elemen sejarah evolusi 50 tahun jentera berkenaan.

Rekaan Range Rover 2022 hadir dengan garis bumbung melandai ke bahagian belakang dipadankan garis badan yang kuat serta ambang pintu rendah.

Jentera terbaharu itu menawarkan rekaan lampu utama baharu, gril lebih mendalam dan ringkas serta rekaan liang kemasukan udara pada bahagian bawah bampar.

Bahagian belakang pula, ia didatangkan lampu menegak dengan rekaan jalur nipis disambungkan ke panel hitam mendatar.

Ruang dalaman disempurnakan dengan teknologi terkini seperti pintu bantuan kuasa tersedia, sistem infotainment Pivi Pro dipadankan skrin sentuh 13.1 inci dan paparan pemanduan interaktif bersaiz 13.7 inci.

Lebih menarik tempat duduk jentera terbaharu itu, menawarkan fungsi urut dengan 24 pilihan mengurut malah diberi pilihan skrin sentuh 11.4 inci pada bahagian belakang tempat duduk untuk kemudahan penumpang.

Antara gajet menarik lain termasuk suara AI Amazon Alexa, sistem audio Meridian 1,600W dengan teknologi pembatalan bunyi, Android Auto dan Apple CarPlay.

Dari segi saiz, ia didatangkan dengan panjang bermula dari 5,000 mm hingga 5,052 mm, manakala versi LWB (jarak roda panjang) pula menerima tambahan dimensi 200 mm.

Range Rover 2022 menggabungkan teknologi terkini dengan kemewahan moden itu merupakan model pertama menggunakan platform terbaharu Land Rover Modular Longitudinal Architecture (MLA-Flex).

Penggunaan platform tersebut memberi pilihan kepada Land Rover memadankan pelbagai jenis trenkuasa, termasuk enjin hibrid dan trenkuasa kenderaan elektrik (EV).

SUV mewah berkenaan menawarkan dua pilihan enjin iaitu enam silinder sebaris Ingenium 3.0 liter turbo yang mampu menjana kuasa 395 hp dan tork 550 Nm.

Ia turut mendapat khidmat enjin V8 4.4 liter turbo yang mampu menjana kuasa 523 hp dan tork 750 Nm dipadankan dengan transmisi ZF lapan kelajuan.

Varian V8 berupaya memecut 0-100 km/j dalam tempoh s4.6 saat untuk model V8 manakala 5.8 saat untuk versi enjin mild hibrid enam silinder sebaris.

Land Rover juga menawarkan pilihan trenkuasa plug-in hybrid (PHEV) untuk pasaran Eropah dengan pek bateri 38.2 kWh dan motor elektrik pada bahagian transmisi.

Versi asas P440e mempunyai kuasa gandingan 434 hp, sementara varian P510e yang lebih bertenaga mempunyai kuasa sehingga 503 hp dan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.6 saat.

Land Rover juga akan menawarkan trenkuasa elektrik sepenuh masa yang bakal menjelang tahun 2024.

Ciri-ciri menarik lain yang ditawarkan termasuk Cabin Air Purification Pro, Sistem Bersepadu Kawalan Chasis, Low Speed Manouevring, 3D Surround Camera, ClearSight Interior Rear View, ClearSight Ground View, serta Remote Park Assist.

GALERI:

Google ads
Back to top button