Buletin

RANGE ROVER SPORT SVR ULTIMATE V8, INI BARU PUAS HATI!

Sudah jelas lagi nyata bahawa Kenderaan Utiliti Sukan atau SUV begitu popular sekarang ini. Di mana-mana sahaja anda boleh menemui SUV dari pelbagai pengeluar.

Pilihan SUV bermula dar sekecil segmen A sehingga E dan jika itu belum memadai, anda boleh mendapatkan model premium atau berprestasi.

Di antara pengeluar tersohor dalam menawarkan SUV premium ialah Land Rover yang berada di dalam kelas tersendiri.

Land Rover memang pandai berniaga, ada pelbagai jenis SUV ditawarkan dari yang lasak seperti Defender sehingga kepada model sporti dan mewah Range Rover Sport SVR.

Memasuki laman web Range Rover seperti anda berada di dalam planet SUV dengan pelbagai pilihan.

Jika tidak mahu memiliki Range Rover di bilik pameran, boleh hubungi Special Vehicle Operations (SVO) untuk dapatkan model istimewa atau yang dibuat untuk anda seorang sahaja.

Terbaru SVO memperkenalkan edisi istimewa Range Rover Sport SVR Ultimate dengan warna baharu dan perincian dalaman yang menaikkan lagi tarikan model paling berkuasa di dalam keluarga Land Rover.

Ada tiga warna yang ditawarkan iaitu Maya Blue Gloss and Marl Grey Gloss dan khusus untuk edisi Ultimate sahaja.

Apa yang istimewa ialah warna ini mengandungi partikel putih kaca pantulan tinggi (highly reflective fine white glass flake) pada lapisan asas yang memberikan kilauan seperti bintang.

Kilauan tersebut sangat menyerlah dan boleh dilihat dari foto yang diberikan ini.

Pilihan ketiga ialah Ligurian Black Satin dan setiap warna dipadan bersama bumbung berwarna Narvik Black yang turut digunakan pada cermin sisi, gril depan, lips dan kemasan pintu kargo.

Lagi ciri-ciri pada edisi Ultimate ialah bonet gentian karbon dengan saluran udara, roda aloi forged saiz 22 inci dan angkup brek warna hitam.

Logo Range Rover pada bonet dan pintu kargo pula kemas dan terperinci dengan corak berjeriji warna hitam dan garisan luar (outline) Fuji White dan warna sama diguna pada pendakap sisi fender.

Pada bahagian dalam edisi Ultimate ini dilengkapi pedal gear warna hitam saduran anod (anodised) dan pelapik ambang pintu edisi Ultimate bercahaya.

Kerusi sport Performance Seats dibalut dengan kulit Windsor dan fabrik Suedecloth.

Range Rover Sport SVR adalah model paling berkuasa pernah dihasilkan Land Rover. SUV ini digerakkan enjin 5.0 liter V8 dengan pengecas lampau (supercharged).

Kuasa yang dihasilkan ialah 575PS dengan tork setinggi 700Nm dan berupaya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 4.5 saat sahaja. Kelajuan maksimum ialah 283 km/j.

Bagaimana dengan harga? Di United Kingdom Range Rover Sport SVR Ultimate ditawarkan pada GBP123,900 (RM718,061) dan tempahan dibuka untuk pelanggan serata dunia melalui pengedar masing-masing.

BACA: LAND ROVER DEFENDER ADA MODEL HARD TOP, JIP MODEN GAYA RETRO!

BACA: RANGE ROVER LSE LIMOUSINE NAK DIJUAL, APA MACAM?

BACA: FAKTA PENJAGAAN RANGE ROVER SPORT SVR. SUV SUPERCAR JAMES BOND

Google ads
Back to top button