Buletin

RAVINDRAN KURUSAMY DILANTIK SEBAGAI PRESIDEN BAHARU UMW TOYOTA MOTOR

UMW Toyota Motor semalam mengumumkan pelantikan Ravindran Kurusamy sebagai Presiden yang baru. Pelantikan itu berkuat-kuasa pada 1 Januari 2017.

Beliau menggantikan Datuk Ismet Suki yang telah berkhidmat dengan syarikat itu selama 26 tahun.

toyota-new-logo-mekanika-1

Ketika mengumumkan pelantikan tersebut, Pengerusi Kumpulan UMW Holdings Berhad dan UMW Toyota Motor, Tan Sri Asmat Kamaludin berkata, “Ravindran telah bersama syarikat selama 26 tahun. Ini telah memberikan beliau pengalaman berharga berkaitan operasi syarikat serta hubungannya dengan rakan kerjasama kami, Toyota Motor Corporation.

“Saya yakin beliau mempunyai pengetahuan dan kemampuan untuk menerajui UMW Toyota Motor.”

Sebelum ini, Ravindran ialah Pengarah Eksekutif yang bertanggungjawab atas aspek selepas jualan, pembelian, jaminan kualiti dan hartanah. Beliau memiliki kelulusan dalam jurusan pentadbiran perniagaan dengan major dalam bidang kewangan serta memperoleh MBA dari Amerika Syarikat pada tahun 1988.

“Saya berbesar hati atas pelantikan sebagai Presiden UMW Toyota Motor. Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Datuk Ismet Suki kerana berjaya membawa syarikat ke tahap ini.”

Sebagai Presiden baru, Ravindran ingin membawa syarikat lebih maju ke hadapan. Selain meneruskan momentum pertumbuhan walaupun dalam tempoh yang cukup mencabar buat industri automotif tempatan.

“Matlamat saya adalah untuk memaksimumkan prestasi keseluruhan Toyota di pasaran Malaysia. Selain memastikan jenama ini kekal menjadi pemain utama dalam industri automotif negara.

UMW Toyota Motor, sebuah anak syarikat yang ditubuhkan oleh UMW Corporation dengan Toyota Motor Corporation dan Toyota Tsusho Corporation telah menjadi pemasang serta pengedar kenderaan Toyota dan Lexus di Malaysia sejak tahun 1982.

Memiliki kilang pemasangan, ASSB di Shah Alam, Selangor ia kini sedang membina kilang kedua di negeri sama yang dijangka memulakan operasi pada 2019.

Google ads
Back to top button