" "
Buletin

ARAB SAUDI UMUM PROJEK MEGA FUTURISTIK BANDAR BEBAS KARBON

Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman melancarkan pelan pembinaan sebuah bandar bebas karbon di bawah projek mega futuristik yang dikenali sebagai NEOM.

NEOM merupakan projek pembinaan mega pertama bernilai AS$500 bilion (RM2.02 trilion) di zon perniagaan utama bertujuan mempelbagaikan ekonomi negara pengeksport minyak mentah terbesar di dunia.  

Menurut laporan Reuters, Putera Mohammed dalam satu siaran televisyen memberitahu, bandar dikenali `The Line’ sepanjang 170 kilometer itu berupaya menempatkan sejuta penduduk.

“Mengapa kita harus mengorbankan alam semula jadi demi pembangunan. Kita perlu mengubah konsep bandar konvensional menjadi kepada futuristik,” katanya.

Pembangunan bandar positif karbon yang digerakkan 100 peratus tenaga boleh diperbaharui tersebut mampu membuka peluang pekerjaan mencecah 380,000 menjelang tahun 2030, kata laporan Bloomberg.  

Dalam pada itu, Putera Mohammed ketika ditemui pemberita di bandar barat laut Al Ula berkata, projek tersebut merupakan hasil daripada persiapan selama tiga tahun.  

Beliau menambah, infrastruktur projek itu bakal menelan kos perbelanjaan antara AS$ 100 bilion hingga AS$200 bilion (RM404 bilion hingga RM808 bilion).

“Tunjang pelaburan projek `The Line’ dibiayai oleh dana sokongan NEOM bernilai AS$500 bilion (RM2.02 trilion) daripada kerajaan Arab Saudi, Dana Pelaburan Awam (PIF) serta pelabur tempatan dan antarabangsa selama 10 tahun,” katanya.    

Sebelum ini, kerajaan Arab Saudi dalam satu kenyataan memaklumkan, pembinaan bandar itu akan bermula pada suku pertama 2021.

Ia dijangka menyumbang AS$48 bilion (RM194 bilion) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Arab Saudi 2030 selain mewujudkan 380,000 pekerjaan. – agensi

Google ads
Back to top button