ARAB SAUDI MAHU BANGUNKAN KERETA ELEKTRIK SENDIRI
Arab Saudi dilapor mahu membangunkan sebuah syarikat membuat kenderaan elektriknya sendiri. Negara itu juga difahamkan sudah melantik satu pasukan penasihat termasukklah Boston Consulting Group untuk meneroka kemungkinan untuk menjadi pengeluar EV.
Seorang jurucakap daripada dana awam Arab Saudi mengesahkan bahawa pihaknya mahu mempelbagaikan sumber pendapatan dan tidak mahu bergantung kepada hasil minyak semata-mata. Namun, tiada perincian mengenai projek EV itu diberikan.
Pada tahun 2018, Dana Pelaburan Awam Arab Saudi membeli sejumlah kecil saham di dalam Tesla sebelum harga sahamnya mula melonjak pada lewat 2019. Ia juga melabur sebanyak AS$1 bilion (RM4 bilion) ke dalam Lucid Motors, selain sudah berunding untuk membina sebuah kilang di Jeddah.
Dalam satu taklimat media pada Januari, ketua dana berkenaan, Yasir Al-Rumayyan memberitahu pihaknya mahu meneruskan perjanjian untuk mengembangkan pengilangan kereta tempatan pada tahun ini atau tahun hadapan.
“Kami kini dalam proses melihat kepada perkakasan elektrik. Mengenai kereta pula, terdapat beberapa projek yang sedang dinilai dan bakal dilaksanakan selewat-lewatnya tahun depan,” kata Al-Rumayyan.