
RENAULT TWINGO E-TECH CONCEPT – KALI INI GILIRAN RUANGAN KABIN PULA DIDEDAHKAN
Model konsep mengenai sebuah kereta bandar yang kompak dari Renault, Twingo E-Tech Concept telah pun diura – urakan pada tahun sudah. Sepatutnya Renault Twingo E-Tech Concept ini merupakan generasi keempat dalam sejarah keluaran model Twingo yang telah pun dimulakan semenjak tahun 1992 yang lalu.
Dan bertempat di Brussels Motor Show 2025, Renault telah mempertontonkan pula bahagian ruangan kabin model konsep Renault Twingo E-Tech ini, sebuah model kereta elektrik yang dijangka menemui pembeli pada tahun 2026 nanti.

Mengambil semangat dan inspirasi daripada model generasi pertama Twingo ini, ianya menampilkan rekaan dan susun atur bahagian dalaman yang luas dan praktikal.
Papan pemuka model konsep elektrik Renault Twingo E-Tech ini menampilkan ciri yang luas, lapang dan berbentuk silinder serta kelihatan seperti tergantung. Panel instrumen menampilkan skrin bersaiz 7 inci. Manakala paparan skrin infohiburan bersaiz 10.1 inci dengan lengkap fungsi ketersambungan.

Bagi mengembalikan nostalgia generasi pertama Twingo ini, terdapat tiga tombol di bahagian bawah tengah yang berfungsi sebagai butang pendingin hawa dan juga butang lampu amaran.
Setiap aspek ruangan dalam kabin Renault Twingo E-Tech ini telah direka untuk mengoptimumkan ruang dan fungsi memudahkan penumpang. Terdapat ruangan di bawah papan pemuka diantara dua tempat duduk hadapan bagi menyimpan beg dan barangan keperluan yang lain.

Terdapat juga ruang rata di bahagian bawah rekaan berbentuk silinder sepanjang lebar kabin bagi membolehkan penumpang menyimpan barangan yang lebih kecil seperti telefon pintar atau pun kaca mata hitam.
Tempat duduk dibalut upholsteri yang diilhamkan berwarna – warni daripada generasi pertama. Ia sepadan dengan warna badan luaran, dengan sentuhan halus pada panel pintu hadapan dan pada papan pemuka yang menghadap penumpang.
Tempat duduk belakang pula boleh dilipat 50:50 untuk membolehkan pelbagai muatan dapat dibawa masuk dengan mudah sekali gus meningkatkan kapasiti ruang kargo.

Meneruskan legasi Twingo yang sudah pun bermula lebih 30 tahun yang lalu, Twingo E-Tech ini adalah merupakan sebuah model konsep yang dibina berdasarkan platform kompak AmpR yang mempamerkan masa hadapan model yang akan berada di pasaran pada tahun 2026.
Dengan aras harga jualan pada € 20,000 (RM94,000) untuk pasaran Eropah, pastinya cita – cita Renault untuk menjadikan kereta elektrik dengan harga yang lebih berpatutan tercapai disamping model sedia ada mereka seperti rangkaian elektrik E-Tech: Renault 5, Renault 4, Megane dan Scenic.
BACA : RENAULT TWINGO BAHARU PADA 2026, KURANG DARIPADA 20 RIBU EURO (RM94 RIBU)!
BACA : RENAULT EMBLEME CONCEPT – MUNGKIN INILAH DIA MASA DEPAN RENAULT