Artikel PilihanBuletin

SEGALANYA TENTANG TAYAR GERAK KEMPIS

Istilah run flat tyre dalam bahasa melayu tidak akan berbunyi tayar lari kempis, tapi Dewan Bahasa dan Pustaka menggunakan terma tayar gerak kempis bagi teknologi ini. Sebenarnya amat sukar untuk menemui pengeluar lain menggunakan tayar gerak kempis ini melainkan BMW dan juga Mini Cooper. Honda juga pernah menggunakan tayar jenis ini untuk model Odyssey yang dipasarkan di Amerika sekitar tahun 2009

Sejarah tayar gerak kempis ini boleh dikesan sehingga tahun 1930an apabila Michelin (disebut Michelan dalam Peranchis) memperkenalkan teknologi tayar yang boleh terus digunakan walaupun sudah kehilangan tekanan udara berdasarkan rekaan tayar bagi kegunaan trem dan keretapi bandar. Penulis percaya berdasarkan keadaan sosioekonomi Amerika yang baru sahaja pulih selepas kemelesetan ekonomi dunia menjadikan aktiviti merompak kereta perisai milik bank sesuatu yang amat menguntungkan.

Maka tayar ini menjadi pilihan utama untuk digunakan bagi kereta perisai milik bank dan juga bagi kegunaan kenderaan medan perang milik tentera. Namun dengan harga yang mahal, ia bukanlah pilihan utama bagi pengguna biasa. Teknologi tayar gerak kempis ini kemudian dibangunkan oleh Goodyear pada tahun 1958, Dunlop pada tahun 1972, dan akhirnya BMW serta Mini Cooper menggunakan tayar gerak kempis sebagai tayar standard bagi kenderaan mereka

Sama seperti tayar biasa, tayar gerak kempis masih lagi bergantung pada tekanan udara untuk menampung berat kereta semasa operasi normal. Namun sebaik sahaja tayar mengalami kebocoran, tayar biasa yang kehilangan tekanan udara akan mulai kempis. Tayar gerak kempis pula tidak akan kempis sepenuhnya kerana dinding tayar ini telah diperkuatkan bermula dari molekul getah lagi.

Jadi bagi tayar dengan dinding tayar yang diperkuatkan ini, ia akan memiliki ketebalan yang lebih pada bahagian tepi dan diperkuatkan secara sintetik bagi menampung berat kenderaan sekiranya tayar mulai pancit. Jenis kedua pula bergantung kepada struktur tambahan yang diperbuat daripada getah ataupun plastik yang disebut support ring. Struktur tambahan ini akan menampung berat kereta sekiranya tayar pancit berbeza dengan kaedah yang pertama.

Namun kaedah kedua lebih popular bagi kegunaan tentera, unit keselamatan dan kenderaan tempur yang beroperasi di medan perang kerana keupayaan yang lebih untuk terus bergerak menjauhi kawasan konflik. Pengeluar mencadangkan agar kereta yang dipasang dengan tayar gerak kempis dipandu sehingga jarak maksimum 80km dengan halaju maksimum 80km/j.

Jarak 80km ini secara logiknya membenarkan anda untuk terus memandu kereta ke pusat servis terdekat bagi tujuan pembaikan. Namun sekiranya anda memandu melebihi jarak dan halaju yang ditetapkan, kerosakan tayar mungkin akan berlaku pada bahagian tepi yang akan menyebabkan tayar perlu ditukar berbanding hanya ditampal sahaja.

Sekiranya anda pernah menonton filem 13 Hours : Secret Soldiers of Benghazi, terdapat satu adegan di mana kontraktor keselamatan terpaksa melarikan diri dengan SUV Mercedes dengan tayar telah terbakar tapi masih lagi boleh bergerak. Pasukan keselamatan dunia menggunakan standard Finabel yang mengukur kekuatan tayar gerak kempis berdasarkan kriteria seperti jarak, halaju dan juga kawalan stering selepas tayar pancit sepenuhnya

Antara kebaikan tayar gerak kempis ialah anda masih boleh memandu kereta seperti biasa walaupun tayar sudah kehilangan tekanan udara sepenuhnya. Ini akan mengelakkan anda daripada tersadai di lebih raya yang sibuk dan terpaksa menukar tayar di kawasan yang bahaya. Ia akan memberikan kawalan stering yang baik selepas pancit seterusnya mengelakkan pemandu daripada terlibat dalam kemalangan.

Disebabkan ia sudah tidak perlu menukar tayar, kereta ini tidak lagi perlu membawa tayar simpanan, alat penukar tayar, dan ruang kargo di bahagian belakang boleh dibesarkan untuk memuatkan barangan lain bagi perjalanan jarak jauh. Namun sebelum anda bertepuk tangan dan bergegas menukar tayar anda kepada tayar gerak kempis, kami senaraikan juga kelemahan tayar ini seperti:

1. Tiada tayar simpanan akan dibekalkan dan bermakna jika tayar anda koyak di bahagian tepi anda mungkin akan tersadai di tepi jalan dan perlu memanggil lori tunda untuk membawa anda ke bengkel

2. Disebabkan tayar ini keras di bahagian tepi, maka kualiti pengendalian terutama keselesaan akan terjejas berbanding dengan tayar konvensional

3. Bagi melembutkan tayar, kompoun getah akan dibuat sedikit lembut berbanding dengan tayar biasa. Kesannya ialah treadwear tayar akan menjadi rendah dan cepat haus. Jika cepat haus, ia perlu ditukar dengan kerap

4. Jika perlu ditukar dengan kerap, maka berwaspadalah kerana tayar ini tidak murah. Semakan penulis di laman sesawang jualan talian mendapati harga tayar bagi saiz 17 mencecah RM 900 seunit.

5. Jika anda perlu menukar tayar di kawasan atau pekan kecil, maka anda amat susah untuk mencari jenis dan saiz yang sesuai untuk kereta anda kerana ia agak susah untuk dijual di kedai biasa

6. Tayar gerak kempis perlu dipasang dengan sensor pengesan kebocoran tekanan udara yang akan memberi amaran kepada pemandu jika berlaku masalah tayar pancit. Pemandu sukar mengesan masalah ini dengan deria rasa.

7. Tayar ini biasanya memiliki 30-40% lebih berat berbanding dengan tayar biasa. Jika ia berat, geseran golek akan bertambah dan penggunaan bahan api akan meningkat. Ia juga akan menyebabkan berat unsprung mass bertambah menjadikan pengendalian kereta sedikit terjejas.

Google ads
Back to top button