Peranti

SAMSUNG GALAXY CAMERA – REBIU

Kejutan bukanlah sesuatu yang baru oleh syarikat teknologi terkemuka dari Korea Selatan, Samsung. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, produk-produk keluaran Samsung dilihat begitu inovatif, sekali gus menjadikannya jenama yang sering menjadi pilihan pengguna. 

SONY DSC

Salah satu produk menarik yang dihasilkan oleh Samsung dan sudah agak lama berada di pasaran tempatan ialah Samsung Galaxy Camera. Secara ringkasnya, gajet ini ialah kamera yang membolehkan pengguna menggunakan internet menerusi sambungan Wi-Fi. Kemampuan ini memang memudahkan anda untuk memuat naik gambar yang telah dirakam ke laman web sosial seperti Facebook, Instagram atau menghantar imej melalui e-mel kepada ahli keluarga atau rakan-rakan.

Dilihat dari segi spesifikasi, Galaxy Camera berkapasiti 16 mega piksel bersama 21x zoom (agak bagus untuk merakam gambar dari jarak jauh), skrin sentuh 4.8 inci serta ketersambungan 3G/Wi-Fi. Apa yang membezakan gajet ini dengan kamera-kamera digital buatan Samsung ialah ia dikuasakan oleh sistem operasi (OS) Android 4.1.

SONY DSC

Jadi, bagi mereka yang pernah atau sedang menggunakan telefon pintar Samsung terutama daripada keluarga Galaxy S III atau Note, membiasakan diri dengan operasi kamera ini tidak memerlukan masa yang lama.

Apabila meneliti Galaxy Camera, ia nyata satu gajet yang cantik. Kualiti binaannya nampak mahal, minimalis dan premium. Mudah untuk memikat sesiapa sahaja. Ia juga tidak terlalu tebal (0.75 inci, tidak termasuk tempat pemegang dan lensa). Justeru,  ia boleh diletak di dalam beg atau poket seluar depan atau belakang tanpa sebarang masalah.

SONY DSC

Namun, ada beberapa perkara yang saya kurang gemar. Rekaan tempat memegangnya agak nipis, jadi ia kurang selesa atau yakin ketika dipegang. Jadi pastikan tali kamera dililit di tangan, bagi mengelakkan ia terlepas dan terjatuh.

Apabila dizoom, panjang lensanya boleh mencecah sehingga tiga inci. Berat dan panjang itu membuatkannya akan jatuh ke depan, walaupun diletakkan di atas permukaan yang rata.

SONY DSC

Operasi Galaxy Camera sebahagian besarnya bergantung kepada skrin sentuh yang menawarkan paparan jelas dan cantik. Skrin LCD 720p itu memiliki sudut pandangan dan repduksi warna yang bagus. Maka tidak hairanlah jika  jumlah butang yang ada padanya juga minimum. Antaranya, butang On/Off dan butang untuk mengeluarkan flash sekiranya perlu.

Apabila bahagian bawahnya dibuka, anda boleh melihat slot untuk bateri Micro SIM, port Micro HDMI dan ruang buat sekeping kad microSD. Ketahanan bateri 1650mAh itu biasa-biasa sahaja. Jika anda jenis yang gemar merakam banyak gambar dan terus berkongsi momen tersebut di laman sosial, ia mungkin sedikit mengecewakan.

SONY DSC

Jika masih belum berkesempatan membeli kad microSD (ya, bukan kad SD), jangan bimbang kerana Galaxy kamera hadir dengan kapasiti storan sebanyak 4GB.

Bagi pengguna amatur, lensa 23mm f/2.8-5.9 yang distabilkan secara optikal itu sudah mampu memenuhi sebahagian keperluan anda. Kualiti gambarnya boleh dikategorikan sebagai memuaskan jika imej dirakam di luar rumah, walaupun hanya menggunakan mode auto.  Pendek kata, kamera ini nyata sesuai untuk mereka yang suka merakam gambar secara ‘point and shoot’.

SONY DSC

Namun, jika anda berhasrat untuk menggunakannya bagi tujuan kerja, misalnya wartawan yang ingin mendapatkan kualiti imej lebih baik dengan setting manual, tugas menukar setting seperti aperture dan speed agak merenyahkan. Anda perlu kembali kepada setting awal pada mode Expert dan mengulangi semua setting yang diperlukan. Proses itu memang memakan masa dan langsung tidak praktikal. Jadi, momen penting yang ingin dirakam mungkin terlepas.

Solusi paling mudah tentunya kekal pada mode Auto yang mengawal setting ISO, shutter speed, aperture dan white balance. Jika anda tidak puas dengan setting sebegitu, teroka ciri-ciri lain yang tersedia seperti mode Smart.

SONY DSC

Memandangkan pilihannya banyak, misalnya continuous shooting, pengesan senyuman (smile detection), aksi, landskap dan ‘beauty face’, maka anda mungkin ralit untuk mencubanya satu persatu. Lebih menarik lagi, semua menu itu disusun agar lebih ringkas dan mudah untuk digunakan.

Saya sukakan mekanisma flash pada kamera ini. Ia bukan sahaja ‘comel’ kerana akan terpantul keluar apabila butangnya ditekan. Lebih penting lagi, flash hanya akan berfungsi bila diperlukan. Jadi, tidak timbul masalah flash tiba-tiba keluar seperti kebanyakan kamera digital yang lain.

SONY DSC

Bagi mereka yang gemar merakam video, anda mungkin akan suka kepada Galaxy Camera. Kualiti videonya bagus, terima kasih kepada ciri penstabilan imej optikal yang ada padanya. Pengguna boleh memilih untuk merakam video dalam kualiti 720p atau 1080p yang kemudiannya akan disimpan format fail .mp4.

Seperti yang boleh dijangka, storan sedia ada (4GB) tidak cukup untuk menyimpan video panjang. Penyelesainnya, beli sahaja kad microSD berdasarkan kapasiti yang diperlukan.

SONY DSC

Oleh kerana gajet ini memiliki ketersambungan 3G, beberapa penyedia perkhidmatan telekomunikasi ada menawarkan pakej yang menarik untuk diteliti. Jadi, ia mungkin boleh menjadi peranti terbaik untuk mereka yang gemar merakam gambar dan terus berkongsi di laman sosial.

[hr] Galeri

SONY DSCSONY DSCSONY DSCSONY DSCSONY DSCSONY DSCSONY DSC

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button