Buletin

TESLA DAN SAMSUNG TANDATANGANI PERJANJIAN BERNILAI RM1.8 BILION. BEKALKAN KAMERA UNTUK CYBERTRUCK

Tesla dilapor telah menandatangani perjanjian bernilai AS$436 juta (RM1.8 bilion) dengan Samsung Electro-Mechanics untuk pembekalan modul kamera bagi Cybertruck.

Dijangka memasuki produksi pada hujung tahun ini, Cybertruck dijangka menerima rangkaian teknologi termaju bersama rekaan yang begitu futuristik. Kamera dilihat memainkan peranan penting dalam menjadikan trak itu sebagai kenderaan tercanggih Tesla. 

Dikatakan akan ada lebih lapan unit kamera hadapan dan belakang bagi tujuan pemanduan autonomi. Kamera juga dipasang pada bahagian bawah bampar hadapan yang pasti berguna ketika melalui laluan off-road. 

Memetik laporan media Korea Selatan, perjanjian dengan nilai yang besar itu akan membantu Samsung Electro-Mechanics untuk merancakkan kembali pertumbuhan statik yang melanda industri telefon pintar. Sejak akhir-akhir ini, perniagaan modul kamera dan kapasitor seramik berbilang lapisan dilihat tidak memberangsangkan. 

Keadaan itu diburukkan lagi apabila Samsung Electronics yang merupakan pelanggan utamanya meramalkan penjualan telefon pintar yang lemah berikutan pandemik dan persaingan sengit. 

Jadi, perjanjian dengan Tesla dijangka dapat membantu Samsung meningkatkan kembali perniagaannya terutama dalam bidang automotif. Alat ganti tersebut bakal dihasilkan di kemudahan Samsung di Tianjin, China pada separuh kedua 2021. 

Mula diperkenalkan dalam bentuk prototaip pada 2019, Cybertruck akhinya bakal dikilangkan di Giga Texas, Amerika Syarikat. Elon Musk memberitahu reka bentuk trak itu akan lebih kompak dan mempunyai panel solar untuk membantu meningkatkan jarak perjalanannya.  

Google ads
Back to top button