Artikel Pilihan

SATU KETIKA DULU MAZDA HAMPIR HASILKAN ENJIN W12 SILINDER

Mazda satu ketika dulu terkena dengan 2 perkara, iaitu mereka menghasilkan kereta sport mampu milik Mazda Miata MX-5 dengan idea asal Bob Hall. Walaupun hanya dikuasakan dengan enjin 1500cc ia cukup popular sebagai kereta sport mampu milik untuk ke litar lumba dan masih dihasilkan sehingga hari ini

Mazda juga menghasilkan kereta sport eksotik yang menggunakan enjin rotari dalam siri RX dengan 2 model terakhir yang popular iaitu RX-7 dan juga RX-8. Di sebalik kegagalan syarikat automotif dunia yang gagal memanfaatkan enjin Wankel, Mazda berjaya menghasilkan sebuah enjin yang ringkas dan berkuasa.

Bagi zaman moden, Mazda menghasilkan pula enjin dengan teknologi Skyactiv dan SkyActiv-X dengan nisbah mampatan yang cukup tinggi iaitu 16:1. Ia satu angka yang gila bagi sebuah enjin petrol dan tambah mengejutkan enjin ini boleh beroperasi dengan meniru kitaran enjin diesel sekiranya keadaan membenarkan.

Tapi tahukah anda sebenarnya Mazda hampir menjayakan sebuah lagi projek kejuruteraan dengan menghasilkan enjin 12 silinder. Jika pembuat kereta yang lain akan menggabungkan 2 enjin V6 bagi menghasilkan enjin V12, Mazda tampil dengan rekaan berbeza. Mereka menggabungkan 3 enjin silinder dalam susunan W pada tahun 1989, lebih awal daripada Volkswagen.

Ini bermakna enjin ini akan berkongsi aci engkol bagi semua silinder, menjadi lebih kompak dan lebih senang untuk dimuatkan. Prototaip enjin W12 ini dihasilkan dengan sesaran 4600cc walaupun ia berupaya untuk dibuat terus menjadi 5000cc. Tapi disebabkan gentlemen agreement antara pengeluar kereta jepun, maka sesaran dan kuasa enjin dihadkan.

Bob Hall yang mencetuskan idea Mazda Miata dilaporkan berkata pada tahun 2018 bahawa enjin ini berupaya menjana sehingga 280 kuasa kuda dan 371Nm tork. Namun antara yang menjadi buah mulut enjin ini sebenarnya mampu menghasilkan 350 kuasa kuda, tapi ia dihadkan kepada 280 kuasa kuda sahaja.

Bagi memastikan enjin ini ringan, Mazda menghasilkan enjin ini daripada aloi berkualiti tinggi. Blok enjin W12 dihasilkan daripada aluminium, kepada silinder dan bekas takung minyak enjin dibuat daripada magnesium. Piston dan injap pula dibentuk dengan menggunakan gentian seramik. Semua teknologi yang ditawarkan oleh Mazda ini nampak agak keterlaluan tapi sebenarnya Mazda ada cita-cita lain

Ini kerana enjin ini sebenarnya direka bagi Mazda bersaing dengan Lexus LS400 (250 kuasa kuda, pacuan belakang), Honda Legend, BMW, Mercedes dan Cadillac pada tahun 1989 di Tokyo Auto Show. Ini kerana pada zaman ekonomi Jepun berkembang dengan cepat antara 1986-1991, pengeluar kereta Jepun dihadkan daripada mengeksport kereta mereka dalam bentuk CBU ke Amerika

Amerika pula pasaran yang besar bagi pengeluar automotif Jepun dan masalah bagi pengeluar automotif Amerika ialah mereka lambat berinovasi, enjin besar, penggunaan bahan api kuat gila dan tidak cekap tenaga serta masalah kualiti menyebabkan selera pengguna beralih kepada produk Jepun. Bagi mengatasi kekurangan untung, pengeluar kereta Jepun melancar dan menjual kereta mewah mereka ke Amerika.

Ok juga, jual satu kereta mewah untungnya sama dengan 20 kereta biasa. Maka lahirlah Lexus (Toyota), Acura (Honda), dan Infiniti (Nissan). Mazda yang merupakan sebuah syarikat automotif kecil, nekad untuk memasuki kelab elit kereta mewah Jepun dengan menghasilkan jenama Amati (eh macm Miata) dengan modal permulaan 500 juta USD hasil keuntungan jualan Miata.

Namun mereka masih kekurangan modal dan 330 juta USD lagi diperlukan bagi aktiviti R&D. Projek jenama mewah Amati ini diberi kod nama Pegasus dan bagi pasaran Amerika ia diketuai oleh Dick Colliver, seorang eksekutif kanan Mazda US yang telah berkhidmat selama 20 tahun. Tapi malangnya ekonomi Jepun telah menguncup menjelang akhir tahun 1991 dan 1992

Ketika ini Mazda baru sahaja membelanjakan 500 juta USD lagi bagi kilang mereka yang baru di Hofu dan hanya beroperasi pada kapasiti 1/3 sahaja. Pendek cerita ketika ini, kewangan Mazda berdarah teruk. Duit banyak keluar untuk satu jenama mewah Amati, pemasaran dah buat, tapi ekonomi Jepun merudum teruk. Jualan Mazda jatuh teruk dan Mazda bukanlah seperti Toyota yang ada modal berbayar yang besar.

Enjin W12 ini sepatutnya dipasang pada model Amati 1000 iaitu sebuah sedan mewah yang sangat besar dengan jarak antara roda direka pada 2950mm. Amati 1000 juga adalah lebih panjang 100mm daripada model BMW 5 Series ketika itu dengan panjang 5140mm. Platform Amati dikatakan diambil daripada platform Mazda 927.

Selepas ekonomi Jepun jatuh teruk pada 1991, jenama Amati yang dilancarkan pada bulan Ogos 1991 terpaksa menghentikan operasi mereka di Amerika dalam masa yang singkat pada 20 Oktober 1992. Ketika ini Mazda sangat kekurangan modal sehingga tidak mampu meneruskan pembinaan Amati 1000, Dick Colliver terpaksa berhenti kerja dan memulakan tugas baru di Acura.

Ketika ini juga Ford yang memegang 24% saham Mazda menyuntik lebih banyak modal kepada Mazda dengan pembelian tambahan 12% saham (bernilai 481 juta USD) bagi memastikan Mazda terus beroperasi. Amati 1000 dan enjin W12 telah terkubur dalam lipatan sejarah dan merupakan luka yang masih berdarah bagi Mazda. Tiada satu pun dokumen, protaip dan apa sahaja paten yang membuktikan kewujudan Amati 1000 dalam sejarah Mazda.

Malah Muzium Mazda di Hiroshima dan juga arkib sejarah Mazda di pejabat California tidak menyimpan apa apa dokumen berkenaan dengan jenama Amati dan enjin W12 ini. Cubaan pertama Mazda untuk berkecimpung dalam segmen kereta mewah gagal, bukan kerana masalah mereka tapi disebabkan ekonomi Jepun yang “burst” dan hampir membuatkan Mazda tenggelam

Model Amati 1000 kemudian dijelmakan sebagai model Mazda Sentia dijana dengan enjin V6 3000cc yang menghasilkan 197 kuasa kuda, dipadankan dengan sistem stering 4 roda termasuk di belakang, pacuan belakang dengan transmisi 4 kelajuan automatik.

Google ads
Back to top button