Buletin

SDAE LABUR RM132 JUTA – BINA KEMUDAHAN PEMASANGAN ENJIN BMW DI KULIM

BMW dilihat terus menjadikan Malaysia sebagai pusat pemasangan enjin kenderaannya dalam usaha mengembangkan kehadiran jenama premium di Malaysia dan rantau ASEAN.

Usaha tersebut direalisasikan menerusi kerjasama BMW Group Malaysia dan Sime Darby Auto Engineering (SDAE).

SDAE yang merupakan unit di bawah Sime Darby Motors itu mewujudkan kemudahan pemasangan enjin SDAE di Kulim, Kedah. 

Melibatkan pelaburan RM132 juta, kemudahan itu dibangunkan di kawasan seluas 2.4 hektar. Ia turut merangkumi ruang seluas 8,500 meter persegi dan akan memberi sokongan terhadap permintaan BMW Group Malaysia untuk kenderaan pemasangan tempatan (CKD).

Kemudahan hasil pelaburan SDAE itu dilengkapi teknologi pembangunan enjin terbaharu. Ia  juga akan membantu inisiatif pengeksportan pengeluar kenderaan premium dari Jerman itu ke pasaran serantau.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Harald Hoelzl mengakui bahawa Malaysia memainkan peranan penting sebagai rakan kongsi strategik kepada BMW di rantau Asia Tenggara.

Kepentingan itu dibuktikan melalui prestasi syarikat yang selari dengan pencapaian BMW di seluruh dunia.

Pada suku pertama tahun 2018, BMW Group berada dalam landasan terbaik untuk mencapai jualan tertinggi sebanyak 604,629 unit di seluruh dunia. Ini adalah peningkatan tiga peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Prestasi positif yang dicatat di seluruh dunia turut dicerminkan di Malaysia. BMW Group Malaysia merekodkan lonjakan jualan 15 peratus untuk model-model BMW, MINI dan BMW Motorrad dengan jualan sebanyak 3,000 unit pada suku pertama tahun 2018.

“Kemudahan pemasangan enjin SDAE bakal mewujudkan 60 peluang pekerjaan tambahan. Sekali gus membuktikan komitmen kami untuk meningkatkan peluang dan prospek kerjaya dalam pasaran pekerjaan tempatan di kawasan Teknologi Tinggi Kulim,” katanya.

Kemudahan pemasangan enjin SDAE itu dilengkapi inovasi terbaharu. Antaranya ialah peralatan pemasangan EST, kelengkapan Teknologi Dosing dan Bonding (DoboTech), pengukiran enjin, pengisian minyak enjin serta mesin ujian untuk pampasan injap hidraulik, ujian kebocoran, ujian kepanasan dan sejuk.

Kemudahan di Kulim itu akan memasang enjin tiga dan empat silinder. Selain enjin diesel empat silinder, serta enjin pembakaran dalaman tiga dan empat silinder untuk kenderaan Plug-In Hybrid.

Pengerusi dan Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif Sime Darby Bhd, Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah menyatakan visi Sime Darby Motors adalah untuk menjadi rakan pemasangan kontrak pilihan bagi pengeluar kenderaan terbaik di ASEAN.

“Kami meletakkan sasaran untuk menghasilkan lebih daripada 50,000 kenderaan, komponen enjin serta komponen kenderaan lain menjelang 2020.

“Kilang pemasangan enjin SDAE yang baru dibuka ini mengorak langkah untuk kami mencapai matlamat ini,” katanya.

Google ads
Back to top button