
SEBABKAN KEMALANGAN, POLIS CARI PEMANDU TRAK TUNDA
Polis sedang mengesan pemandu trak tunda yang mengubah laluan di Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) berdekatan One Utama menyebabkan motosikal terbabas dan melanggar kereta semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya mengesan video berdurasi 17 saat dimuat naik jam 10 pagi tadi.
Menurutnya, video itu memaparkan trak tunda mengubah laluan menyebabkan motosikal mengelak sehingga terbabas dan melanggar kereta di lorong kiri.
“Berdasarkan rakaman kejadian itu berlaku pada jam 4.57 petang semalam. Polis sudah menerima laporan daripada penunggang motosikal dan pemandu kereta terbabit. Polis sedang mengesan pemandu trak tunda untuk diambil tindakan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, polis meminta pemilik atau pemandu trak tunda yang terbabit atau mana-mana saksi yang melihat kejadian itu tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan.
“Sebarang maklumat boleh berhubung dengan penolong pegawai penyiasat trafik, Sarjan Ainurur Firdaus Mahusin di talian 0176345114,” katanya. – Harian Metro