
FERRARI ENZO 2003 BELUM PERNAH DIDAFTAR UNTUK DIJUAL – SEMPAT LAGI NAK BUAT BERAYA NI
Bayangkan dah hampir 20-tahun berlalu tapi masih ada sebuah Ferrari Enzo yang belum pernah didaftarkan. Bukan itu sahaja, ia juga masih mempunyai plastic pembalut di sana sini. Ini mungkin peluang terbaik sesiapa yang bertuah (dan berduit) untuk memilikinya.

Ferrari Enzo ini dijual pada tahun 2003 di Ontario dan kemudiannya dihantar ke Jepun tapi selama berada di sana, ia tidak pernah didaftarkan. Sebab itulah perbatuannya cuma mencecah 141 batu (bersamaan dengan 223 kilometer). Itu pun sudah tentu jarak yang dipandu oleh pemandu penguji Ferrari semasa di kilang.
Kenapa ia tidak pernah didaftar tidak dapat dijelaskan tapi terdapat beberapa tanda yang kereta ini tidak pernah disentuh sesiapa sejak meninggalkan kilang pengeluarannya. Beberapa gambar yang disediakan oleh RM Sotheby’s yang bertanggungjawab menguruskan jualan kereta ini jelas menunjukkan plastik pelindung masih boleh dapat dilihat di bahagian dalaman kereta ini.

Bukan itu sahaja, kunci asalnya juga masih berada dalam balutan plastic cuma ditebuk sedikit la untuk menghidupkan kereta ini. Beg pakaian istimewa yang disertakan bersama kereta ini juga masih dalam balutan plastik. Puas hati la siapa-siapa yang dapat kereta ni.
Satu lagi keunikan Enzo ini ialah warnanya. Biasanya Enzo berwarna merah kan tapi ini merupakan satu dari sembilan unit yang dihasilkan denan warna Argento Nurburgring 101/C. lebih unik lagi kerana inilah satu-satu unit yang mempunyai kemasan kulit Cuio. Model lain kesemuanya mempunyai kemasan dalaman berwarna hitam ataupun merah.
Bahagian enjin pula sama seperti semua Enzo lain yang menggunakan enjin 6.0 liter NA V12 yang mampu menghasilkan 651 hp kuasa maksima. Kuasa kemudian disalurkan ke roda belakang menerusi kotak gear manual automatic enam-kelajuan ala F1.








