Buletin

SEGALANYA TENTANG JENTERA TERBAIK MASERATI MC12

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Maserati merupakan satu jenama yang tak perlu diperkenalkan lagi. Jenama mewah dari Itali ini sudah menempa nama di dalam dunia Automotif sejak tahun 1914 lagi, iaitu 106 tahun lepas.

Walaupun mempunyai barisan jentera ikonik, namun ada satu jentera yang diangkat sebagai jentera terbaik Maserati sepanjang zaman iaitu Maserati MC12. MC12 merupakan akronim kepada Maserati Corsa bagi MC, 12 pula menunjukkan yang jentera ini menggunakan enjin 12 silinder.

Jentera ini dihasilkan pasa tahun 2004 sebagai syarat homoglasi untuk bertanding di kejohanan FIA GT Championship dalam kategori GT1. Dipendekkan cerita, Maserati diangkat sebagai juara bagi kategori pengeluar di dalam kategori GT1 melalui pasukan Vitaphone Racing Team.

Produksi jentera ini juga terhad di Mana hanya 62 unit sahaja dibina termasuk varian MC12 Versione Corse. Produksi jentera ini hanya berlangsung selama 2 tahun iaitu pada tahun 2004-2005 sahaja

Sekarang kita pergi lebih mendalam kepada pembangunan jentera ini.

Jentera ini direka oleh Mr. Frank Stephenson. Beliau merupakan Pengarah bagi Ferrari-Maserati Concept Design pada ketika itu. Pembangunan ini juga diselia oleh Andrea Bertolini yang bertugas sebagai Ketua Pandu Uji dan juga Micheal Schumacher.

Eh ? Micheal Schumacher ? Apasal mamat di ada ? Hal ini kerana pada waktu ini Micheal Schumacher merupakan pemandu bagi Ferrari Formula One Racing Team dan pada ketika ini juga syarikat Maserati berada di bawah naungan Ferrari.

Sekarang ? Tak dah. Ferrari sudah menjadi jenama “Independent” milik Belanda dan dijenamakan semula menjadi Ferrari N.V. Maserati pula berada dibawah naungan Fiat Chrysler Automobiles. Panjang cerita ni. Kita ulas di lain hari.

Pembangunan jentera ini berkait rapat dengan jentera Ferrari iaitu Ferrari Enzo, atau lebih dikenali dengan kod F60. Jentera MC12 ini berkongsi cesi dengan Ferrari Enzo. Yang membezakan hanyalah rekaan luaran, dalaman, sedikit modifikasi pada enjin serta kotak gear.

Cesi jentera ini merupakan cesi “Monocoque” yang dibuat daripada “Carbon-Fibre” dan “Nomex”. Cesi utama ini dipadankan dengan “Subframe” yang diperbuat daripada Alumunium pada bahagian depan dan belakang.

Bahagian badan jentera ini dibuat daripada “Carbon Fibre” secara keseluruhannya. Ia juga diuji di “Wind Tunnel” bagi mendapatkan nilai “Downforce” yang maksimum.

Hasilnya, rekaan yang mempunyai fungsi yang sangat efektif di mana bahagian bumper belakang mempunyai “Diffuser” untuk memaksimumkan “Ground Effect”.

“Air Scoop” pada bahagian bumbung jentera ini berfungsi untuk menyuapkan udara ke enjin. “Air Scoop” pada bahagian tepi badan jentera ini berfungsi untuk menyedut udara bagi tujuan penyejukan. Unit Spoiler selebar 2 meter berfungsi untuk menghasilkan “Downforce”. Hasil akhir pada badan jentera ini adalah gabungan warna putih dan biru sebagai “Tribute” kepada America Camoradi Racing Team.

Sistem suspensi jentera ini menggunakan jenis “Double-Wishbone”, dipadankan dengan unit penyerap hentak bersama mekanisma “Push Rod”. Macam mana “Push Rod” ni ? Senang cakap macam mana korang tengok dekat jentera Formula One atau kereta lumba yang lain.

Penyerap hentak diletakkan di tempat selain tempat yang korang biasa lihat. Senang cakap diletakkan secara melintang. Sistem suspensi ini ditala supaya pemandu masih boleh merasa “selesa” ketika memandu jentera ini. Sistem suspensi ini juga dibekalkan dengan “Lifter” dimana ketinggian jentera boleh dilaras bertujuan untuk melalui jalan tidak rata mahupun “Speedbump”. Selain itu, sistem suspensi ini mempunyai 2 mod berbeza iaitu “Sport” yakni biasa dan juga “Race”. Apabila mod “Race” dipilih, suspensi akan lebih keras sesuai dengan keadaan pemanduan ekstrem.

Jentera ini menerima set rim bersaiz 19 inci bagi bahagian depan dan belakang. Set rim ini diselaputi oleh tayar bersaiz 245/35 ZR19 bagi bahagian hadapan dan 345/35 ZR19 bagi bahagian belakang. Semestinya tayar yang digunakan adalah Pirelli P Zero Corsa. Set rim dan tayar ini diikat menggunakan “Centre-lock Wheel Nuts”. Istimewanya, “Centre-lock Wheel Nuts” ini datang dengan kod warna, merah bagi set rim dan tayar bahagian kiri dan biru bagi set rim dan tayar bahagian kanan.

Tugasan memperlahankan serta memberhentikan jentera ini diserahkan kepada sistem brek daripada Brembo. Rotor bahagian hadapan bersaiz 380mm diangkup dengan angkup brek 6-piston. Rotor bahagian hadapan pula bersaiz 335mm diangkup oleh angkup brek 4-piston. Jentera ini juga menerima sistem keselamatan “Antilock Braking System”(ABS) dan juga “Traction Control”.

Bahagian dalaman jentera ini agak mengejutkan. Tidak seperti pesaing-pesaingnya yang lain, Maserati mengekalkan ciri mewah pada bahagian dalaman. Kemasan dalaman jentera ini menggunakan campuran “Carbon Fibre” serta kulit. Ia juga menggunakan material sintetik yang dikenali sebagai “Brightex” yang dianggap sebagai sangat mahal di dalam industri fesyen. Tidak ketinggalan jam analog berbentuk bujur daripada Maserati terletak di bahagian tengah papan pemuka. Sistem penghawa dingin juga dipasang pada jentera ini. Cuma satu je kurang. Jentera ini tiada pemain audio. Takde radio Tuan-Tuan. Ruang untuk pasang radio “Aftermarket” pun tiada. Memang dengar bunyi enjin je lah ceritanya.

Yang terakhir sekali untuk disentuh adalah jantung kepada jentera ini iaitu enjin. Jentera ini dijana oleh enjin Ferrari/Maserati F140 V12 NA bersesaran 5,998cc(6.0L) yang terletak di bahagian belakang jentera ini. Enjin ini mampu menghamburkan kuasa sebanyak 621bhp pada 7,500rpm dan daya kilas sekuat 652Nm pada 5,500rpm. “Redline” enjin ini adalah pada 7,500rpm namun dikatakan masih selamat walaupun mencecah 7,700rpm. Enjin Jentera ini merupakan enjin yang sama digunakan pada Ferrari Enzo namun ditala supaya kuasanya kurang sedikit daripada Ferrari Enzo.

Kuasa yang hebat ini kemudiannya dihantar ke kotak gear “Electrohydraulic Manual Transmission” 6-kelajuan. Sistem transmisi ini juga dikenali sebagai “Semi-Automatic Transmission”. Secara harfiahnya kotak gear ini merupakan kotak gear manual, cuma fungsi penukaran gear, operasi klac serta “Rev-Matching” dilakukan secara elektronik dengan sistem hidraulik bertindak sebagai aktuator.

Nisbah gear bagi jentera MC12 ini adalah tidak sama dengan Ferrari Enzo dan pihak Maserati menamakan semula kotak gear ini sebagai “Maserati Cambiocorsa”. Penukaran gear bagi kotak gear ini boleh dikatakan cepat dengan respon hanya 150 milisaat sahaja. Kuasa sererusnya dihantar ke tayar belakang jentera ini.

Gabungan keseluruhan cesi serta enjin menghasilkan berat hanya 1,335kg sahaja. Ringan Tuan-Tuan. Perlu diingat jentera ini mempunyai kuasa sebanyak 621hp. Jentera ini mampu memecut dari 0-100km/h hanya pada kadar 3.8 saat sahaja dan mampu mencapai kelajuan tertinggi 330km/h. Laju Tuan-Tuan.

Rasa tak lengkap pula bila tak bercerita tentang model Versione Corse. Jentera yang saya ceritakan diatas merupakan versi Stradale. Varian Stradale diproduksikan sebanyak 50 unit, manakala varian Versione Corse diproduksikan sebanyak 12 unit sahaja.

Jentera MC12 Versione Corse ini merupakan kontra bagi varian Stradale. Jentera ini merupakan jentera lumba sebenar yang dimodifikasi bagi membolehkan ia dipandu oleh orang biasa. Jentera ini menerima peningkatan kuasa kepada 755bhp. Jentera ini juga tidak dijual sebarangan, hanya kepada pembeli terpilih sahaja. Bukan itu sahaja, walaupun sudah dimiliki, jentera ini disimpan serta dijaga oleh pihak Maserati sendiri. Jentera ini hanya dibenarkan dipandu pada “Track Day” sahaja. Nak bawa show off dekat kawan tak boleh.

Bayangkan Tuan-Tuan, dah beli tapi tak boleh bawa balik rumah. Nak bawa pun kena minta izin. Punya lah eksklusif. Bukan murah Tuan-Tuan. Ketika dijual harganya dalam lingkungan USD1.47 juta. Bersamaan RM8.7juta nilai semasa.

Ini lah dia Tuan-Tuan. Karya agung pihak Maserati sepanjang zaman. Jentera ini boleh dilihat di pusat pameran Naza di ibu kota. Jentera yang terdapat di negara kita adalah varian Stradale. Dengar cerita bagi varian Stradale ini pun sudah mencecah RM10juta. Makin lama makin mahal. Tapi itulah, mahal untuk kita, bukan pada “mereka”. Kat Malaysia ni ramai sangat orang kaya Tuan-Tuan.

Google ads
Back to top button