Buletin

MAZDA CX-30 DAN MX-30 TERIMA ANUGERAH RED DOT 2020, MEMANG LAYAK!

Mazda membuktikan keunggulannya di dalam dunia reka bentuk apabila dua model sekaligus diiktiraf untuk menerima anugerah Red Dot: Product Design 2020. Dua model tersebut ialah CX-30 dan MX-30.

CX-30 adalah sebuah SUV segmen C dengan rekaan elegan manakala MX-30 dengan status sebagai kereta elektrik pertama Mazda merupakan satu kejayaan besar apabila reka bentuknya diiktiraf industri.

CX-30 adalah model produksi kedua yang direka di bawah evolusi falsafah reka bentuk Kodo. Seni yang dibawa falsafah itu bersumberkan estetika tradisional Jepun.

CX-30 sudah dilancarkan di dalam negara dan sudah pun berada di atas jalan raya. Reka bentuk CX-30 bukan tipikal sebuah SUV dan ia dibina berdasarkan prinsip less is more.

Permukaan badannya tidak berserabut dan kelihatan tenang yang menghasilkan reka bentuk elegan.

Jika ada yang mencari karakter rugged dan lasak pada sebuah SUV, CX-30 tidak memilikinya kecuali arka roda yang tebal. 

Bagaimana CX-3 dan Mazda3 terbentuk, begitulah kesinambungan pada CX-30.

MX-30 pula adalah sesuatu yang baharu buat Mazda. Ini adalah teknologi elektrik yang mana Mazda sebelum ini menfokuskan kepada enjin pembakaran dalaman.

Dikenali sebagai teknologi e-Skyactiv, MX-30 dilengkapi bateri lithium ion dengan jarak pemanduan sekitar 200km untuk cas penuh.

Jarak tersebut rendah untuk sebuah EV dan menurut Mazda ia sebenarnya melebihi jarak purata pemanduan 48km setiap hari untuk pelanggan Eropah.

Kemenangan terbaru ini adalah anugerah Red Dot kelapan dan kesembilan untuk model-model yang direka dengan falsafah Kodo. 

Di antara model yang pernah diiktiraf ialah Mazda3 (2019), MX-5 RF (2017), MX-5 soft top, CX-3 dan Mazda2 (2015), Mazda3 (2014) dan Mazda6 (2013).

Dimulakan pada 1995, Red Dot adalah satu dari pertandingan reka bentuk terbesar dunia.

Ada 48 kategori yang dipertandingkan termasuk kereta dan motosikal dan setiap pemenang boleh mempamerkan simbol Red Dot yang merupakan identiti kecemerlangan reka bentuk.

Tags
Google ads
Back to top button